Tikam Ibu Sehingga Maut, Lelaki Ini Kemudiannya Tolak Mayat Wanita Itu Guna Kerusi Roda

Dalam satu kejadian yang berlaku di Taman Kampung Padang, Kuantan pada Selasa, seorang lelaki menikam ibunya sehingga maut sebelum bertindak meletakkan mayat wanita malang itu di atas kerusi roda dan menolak jasad kaku tersebut keluar dari rumah sejauh 50 meter.

Menurut laporan Harian Metro, insiden itu disedari orang awam yang ketika itu berada di gerai berhampiran selepas melihat tindakan lelaki berkenaan. Orang awam yang berada di situ dikatakan cuba untuk menenangkan lelaki yang dipercayai sakit mental itu.

Ketua Polis Daerah Kuantan iaitu Asisten Komisioner Mohammad Noor Yusuf Ali mengatakan bahawa berdasarkan siasatan awal, suspek dipercayai menikam ibunya yang berusia 62 tahun menggunakan pisau dapur di bahagian ruang tamu rumah teres yang didiami mereka.

Tindakan suspek menyebabkan mangsa meninggal dunia dengan kesan tikaman di bahagian kiri lehernya.

Pada masa yang sama, suspek berusia 38 tahun itu turut mencederakan dua lagi mangsa iaitu adik perempuannya bersama dengan teman lelakinya.

“Kejadian berlaku antara 8.30 hingga 10.30 pagi dan suspek meletakkan mayat ibunya di atas kerusi roda sebelum menolak keluar dari rumah sejauh kira-kira 50 meter,” kata Mohammad Noor.

“Ketika orang awam cuba menenangkannya, suspek bertindak menikam adik perempuannya yang kebetulan tiba di tempat kejadian bersama teman lelakinya,” ujar beliau.

Tambah beliau, adik suspek yang berusia 26 tahun itu parah di belakang badan manakala teman lelakinya yang berusia 37 tahun mengalami kecederaan di lengan.

Difahamkan, ketika kejadian berlaku, hanya suspek serta ibunya sahaja yang berada di rumah dan mangsa dikatakan mengalami patah tulang belakang menyebabkannya langsung tidak boleh bergerak.

“Siasatan mendapati suspek mempunyai rekod rawatan psikiatri dan tidak bekerja.”

“Kita masih lagi menyiasat motif kejadian dan akan mendapatkan perintah reman terhadap suspek bagi membantu siasatan,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk prosedur bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk proses pengebumian. Mangsa yang cedera turut menerima rawatan di hospital yang sama dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

“Kita sudah menahan suspek dan merampas senjata tajam yang digunakan dalam kejadian itu.”

“Siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” kata Mohammad Noor.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca