Tiga Kru Nelayan Diculik Kumpulan Bersenjata Di Perairan Lahad Datu

Tiga orang nelayan warga Indonesia yang sedang menarik udang telah diculik oleh kumpulan bersenjata di perairan Lahad Datu pada pagi Isnin. Perkara ini disahkan sendiri oleh Ketua Menteri Sabah iaitu Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Menurutnya, laporan awal yang diterima pihaknya memaklumkan bahawa kesemua mangsa yang berusia antara 27 hingga 48 tahun diculik sekitar jam 11.58 pagi.

Difahamkan, mereka dipercayai dibawa ke kawasan Tawi-Tawi iaitu di selatan Filipina.

“Saya difahamkan ia membabitkan penculikan nelayan. Nelayan ini berasal dari Indonesia, dari suku kaum Butun. Kita akan pastikan. Difahamkan mereka dibawa ke Tawi-Tawi.”

“Namun demikian, kita akan melihat kedudukan sebenar. Saya akan mendapat maklumat terperinci tentang kedudukan sebenar,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie memberitahu penculikan tersebut berlaku di di kawasan perairan berhampiran Pulau Tambisan dekat Lahad Datu di mana terdapat kejadian yang hampir serupa berlaku di lokasi yang sama tidak lama dahulu.

Kejadian hampir sama yang dikatakan itu dipercayai merujuk kepada kes yang berlaku pada bulan Jun lalu di mana 10 orang nelayan diculik kumpulan militan di perairan Tambisan, Lahad Datu.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Polis Sabah iaitu Datuk Omar Mammah mengatakan bahawa ketika kejadian itu berlaku, terdapat sebuah bot nelayan lain berdekatan dengan bot mangsa.

“Sekumpulan tujuh lelaki bersenjata kemudiannya muncul dengan menaiki dua buah bot pam.”

“Sebuah bot dinaiki empat lelaki bersenjata kemudiannya menuju ke arah sebuah bot nelayan di situ lalu merampas telefon bimbit kru-kru nelayan terbabit dan meninggalkan mereka.”

“Dalam masa sama, sebuah bot pam dinaiki tiga lelaki bersenjata menuju ke sebuah lagi bot nelayan dinaiki tiga kru berkenaan, lalu mengiringi bot mangsa menuju keluar dari perairan negara,” katanya seperti yang dilaporkan Astro Awani.

Pihak polis kemudiannya berjaya menemui bot nelayan terbabit namun tiga kru nelayan itu tiada di situ.

Siasatan lanjut berhubung kejadian masih giat dijalankan dan pihak polis masih menunggu maklumat lanjut dari pasukan keselamatan Filipina.

Artikel Lain Untuk Di Baca