3 Juta Rakyat Masih Ingkar Arahan PKP – Panglima Angkatan Tentera

Umum sudah tahu sejak 18 Mac yang lalu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah pun berkuat kuasa. Pada mulanya tidak ramai yang mematuhi perintah ini sehinggakan tentera terpaksa dikerah untuk membantu.

Namun begitu, sehingga kini masih ada 10 peratus rakyat Malaysia yang tidak patuh perintah. Menurut Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang, kira-kira tiga juta rakyat Malaysia masih ingkar arahan dan angka itu merupakan jumlah yang besar dan perlu ditangani segera.

Tambahan beliau, jumlah 10 peratus itu tidak boleh dipandang ringan. Namun, itu tidak bermakna mereka tidak akan berusaha bersama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjayakan perintah ini sepenuhnya.

ATM juga bersedia untuk memupuk sifat berdisiplin dalam kalangan rakyat untuk mematuhi perintah dan arahan sah yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

“ATM bersetuju penguatkuasaan PKP perlu diberi lebih tumpuan di kawasan-kawasan berisiko tinggi seperti pasar dan pasar raya kerana sehingga kini orang ramai didapati masih bersesak dan tidak mengamalkan penjarakan sosial,” katanya.

Selain itu, beliau juga menasihati orang ramai agar tidak terpengaruh dengan berita palsu yang tersebar di media sosial berkenaan atur gerak ATM yang berskala besar sepanjang PKP. Hal ini kerana ia boleh mencetuskan perasaan panik dalam kalangan rakyat sedangkan ia merupakan perkara yang tidak benar.

“Secara keseluruhan, seramai 7,500 anggota ATM daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ditugaskan untuk membantu PDRM di 405 lokasi sekatan jalan raya dan 272 kawasan rondaan kereta peronda polis (MPV) di seluruh negara setiap hari,” jelas beliau.

Beliau menyeru kepada masyarakat untuk faham tentang kepentingan PKP ini kerana ia demi kesejahteraan negara dan keputusan ATM membantu PDRM adalah keputusan yang wajar untuk melaksanakan perintah ini dengan baik.

Untuk membaca artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca