Tiga Hari Terperangkap, Mangsa Banjir Menulis S.O.S, ‘FOOD’ Untuk Bantuan

Tiga hari terperangkap akibat banjir, sekumpulan 50 orang yang menghadiri satu majlis perkahwinan di sebuah dewan di Taman Sri Muda, Shah Alam terpaksa menulis S.O.S di tingkap bagi mendapatkan bantuan.

Menurut Richmond Linus, 32, abang pengantin, majlis perkahwinan adiknya yang meriah itu bertukar suasana apabila paras air naik dengan begitu cepat memerangkap 50 ahli keluarga tersebut. Kerana terdesak, mereka kemudiannya menulis S.O.S itu pada malam kedua.

Kenderaan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam ditenggelami air banjir. Sumber: Berita Harian

Namun setelah bantuan tidak kunjung tiba, mereka turut menulis ‘FOOD’ menggunakan pita pelekat di atas bumbung dewan. Dengan isyarat itu, mereka berharap agar ada helikopter akan melihat isyarat tersebut.

Berkongsi lebih lanjut mengenai detik cemas itu, Richmond berkata, bekalan makanan dan minuman sudahpun habis pada malam kedua. Hal itu menyebabkan mereka yang terdiri daripada dua bayi, 10 warga emas dan selebihnya orang dewasa semakin terdesak.

Kredit foto: Richmond Linus

“Hari kedua, makanan sudah habis, kita pun tulis S.O.S besar-besar dan letak dekat tingkap. Tapi bantuan tidak sampai, jadi saya dan yang lain pakai pita pelekat tulis ‘FOOD’ di atas bumbung bangunan, harapnya ada helikopter nampak,” katanya kepada pemberita.

Tambah Richmond lagi, melihatkan bantuan yang tidak kunjung tiba, dia dan tujuh ahli keluarganya memutuskan untuk keluar, bertaruh nyawa bagi mencari bekalan makanan untuk ahli keluarga yang lain.

“Kami lapan orang berenang guna pelampung…restoran sebalah bagi (makanan) tapi tidak cukup sebab mereka pun ada ramai pekerja,” katanya.

Selepas tiga hari dua malam, pasukan penyelamat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat akhirnya datang menyelamatkan mereka dan membawa mereka keluar menggunakan bot.

“Semua dah keluar, ada dekat rumah adik beradik dekat-dekat sini…tetamu semua dah okey tapi kami tak tahu nak ucap tahniah macam mana dekat pengantin, semua rasa bersalah,” katanya dalam nada berseloroh.

Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca