Sebaik sahaja pagar besi di Stesen MRT Kranji ditutup pada jam satu pagi, Armel Sharil perlahan-lahan membentangkan sekeping kadbod di atas lantai sebelum berbaring dan memejamkan matanya.
Menurut lelaki berusia 31 tahun itu, dia cuma mempunyai empat jam sahaja untuk tidur kerana dia harus bangkit pada jam lima pagi iaitu saat di mana stesen berkenaan akan dibuka semula untuk kegunaan orang ramai.

Armel merupakan antara 20 rakyat Malaysia yang memilih untuk tidur di stesen MRT selepas dia tidak boleh pulang ke rumahnya di Johor Bahru susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkuatkuasa pada 18 Mac 2020.
Menurut Armel yang bekerja di Singapura sebagai penjaga stor gudang, bapa kepada dua anak itu berkata majikannya kini sedang mencari tempat tinggal buat dirinya di republik itu.
Pada malam 18 Mac, ribuan rakyat Malaysia terpaksa mengharungi kesesakan lalu lintas yang teruk semasa mereka hendak memasuki Singapura sebelum tengah malam yakni sebelum Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri Malaysia berkuatkuasa.
Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan adalah sebagai salah satu alternatif untuk mencegah penularan wabak Koronavirus baharu (COVID-19) di Malaysia yang kini sudah meragut dua nyawa.

Pada Selasa lalu, Menteri Tenaga Kerja, Josephine Teo memaklumkan bahawa kerajaan Singapura akan memberi bantuan kepada majikan di republik itu untuk mencari tempat tinggal buat pekerja warga Malaysia dengan memberikan wang sejumlah S$50 (RM151.78) satu hari bagi setiap pekerja.
“Setakat Selasa, kira-kira 10,000 rakyat Malaysia telah memilih untuk kekal tinggal di Singapura untuk bekerja sudah menerima penempatan sementara,” kata Josephine Teo lagi.

Dalam pada itu, seorang pekerja pembersihan sekolah berusia 25 tahun bernama Mohana Ambigai Dewi pula mendedahkan, dia kehilangan kerja akibat terperangkap dalam kesesakan lalu lintas untuk memasuki republik itu pada Selasa.
“Kesesakan terlalu teruk dan bateri telefon bimbit saya sudah mai menyebabkan saya gagal memaklumkan kepada majikan bahawa saya tidak akan masuk bekerja pada hari itu (Selasa),” katanya.
“Saya berjumpa dengan majikan pada pagi Rabu untuk menjelaskan situasi saya namun hanya diberitahu syarikat sudah memberhentikan permit kerja saya. Kini, saya terperangkap di republik ini tanpa kerja dan tidak boleh pulang ke Malaysia.”
Untuk membaca artikel lain berkaitan wabak COVID-19, sila klik pada pautan di bawah: