Tidak Timbul Isu Tentang Pembelajaran Jawi, Dong Jiao Zong Bukan Pertubuhan Rasis

Pertemuan di antara Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusuf dengan wakil daripada Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) pada Rabu  menyaksikan beberapa persetujuan telah dicapai berhubung isu tulisan Jawi yang hangat diperkatakan baru-baru ini.

Pada sidang media selepas pertemuan itu, Mujahid berkata sebanyak lima perkara telah dipersetujui dalam pertemuan itu demi memelihara kepentingan nasional dan masa depan Malaysia.

Antaranya ialah, semua pihak perlu meredakan ketegangan dalam isu yang menyinggung sensitiviti mana-mana pihak melalui pendekatan penuh hikmah dan bijaksana. Ini bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan untuk menangguk di air keruh bagi mengeksploitasikan keadaan untuk agenda sempit.

Perbincangan itu turut mencapai persetujuan bahawa pembelajaran Jawi tidak bermotifkan Islamisasi kepada mana-mana pelajar bukan Islam, sebaliknya ia adalah sebahagian daripada warisan budaya negara yang perlu dihormati oleh semua pihak.

“Kami juga bersetuju bahawa tidak timbul isu Dong Jiao Zong menentang pengajaran dan pembelajaran Jawi dan Dong Jiao Zong juga bukan pertubuhan rasis,” kata Mujahid lagi ketika membacakan kenyataan bersama pada sidang media sejurus pertemuan itu.

Dalam pertemuan yang berlangsung lebih satu jam itu, antara yang hadir ialah  Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) Tan Tai Kim; Pengerusi Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) Datuk Ong Chiow Chuen; Penolong Setiausaha Kehormat Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong) Yong Yew Wei dan Pertubuhan Masyarakat Berasal Dari India Sedunia Malaysia (GOPIO) A. Ravendiran Arjunan.

Tambah Mujahid lagi, agenda rasis yang bakal meruntuhkan keharmonian masyarakat berbagai kaum dan bangsa perlu ditentang bersama secara kolektif supaya tidak ada budaya kebencian sesama rakyat Malaysia. Semua pihak juga bersepakat tentang perlunya bersama-sama meredakan ketegangan dalam isu yang menyinggung sensitiviti mana-mana pihak melalui pendekatan penuh berhikmah dan bijaksana.

Untuk membaca artikel lain berkaitan Dong Zhong, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca