Tidak Tahan Diserang Dan Dimaki, Anak Pukul Bapa Mabuk Hingga Maut

Ekoran tidak tahan dipukul oleh bapanya yang mabuk, seorang lelaki bertindak membalas pukulan itu dengan besi pengangkat kelapa sawit di kampung Ulu Teburi, Tungku, Lahad Datu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Talasai Kuyoh, 62 tahun, ditemui mati di kebun sawit berhampiran dengan rumahnya.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu iaitu ACP Nasri Mansor berkata, suspek yang berusia 30 tahun itu disuruh oleh bapanya untuk membeli batu jalan dan datang ke rumahnya di kebun kerana ada kerja yang mahu diselesaikan.

“Setelah sampai di rumah mangsa, suspek terus ke dapur dan masak untuk bapanya. Sewaktu sedang memasak, mangsa memanggil anaknya ke bawah kolong.

“Mangsa yang sedang minum minuman keras memarahi anaknya dan berlaku perselisihan faham,” katanya dalam satu kenyataan. 

Jelas ACP Nasri, mangsa kemudian dikatakan mengambil parang dan melibas ke arah anaknya.

*sumber Astro Awani

Suspek berlari ke arah lori berdekatan untuk menyelamatkan diri, kemudian mengambil besi pengangkat sawit di bahagian pemandu.

“Mangsa terus mengejar sambil melibas parangnya ke arah suspek, namun suspek sempat mengelak serta membalas dengan memukulnya beberapa kali menggunakan besi tersebut.

“Pukulan tersebut terkena pada kepala dan beberapa anggota badan mangsa sebelum menyebabkannya jatuh terguling ke arah kawasan bawah bukit.

“Suspek melarikan diri ke rumah ibu saudara isterinya dan memberitahu perkara sebenar,” menurut ACP Nasri.

Kira-kira pukul 2 petang, suspek ditahan ketua kampung dan beberapa penduduk sebelum dia diserahkan kepada pihak polis di Balai Polis Tungku, tambahnya.

Jelasnya, punca kejadian disebabkan daripada perselisihan faham dan suspek tidak tahan kerana kerap dimarah serta dimaki ketika mangsa mabuk.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tambah ACP Nasri lagi, polis turut merampas senjata yang digunakan dalam kejadian itu.

Untuk baca artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca