Tidak Sepopular Buah Epal Hijau, Ini Adalah Khasiat Buah Bidara Yang Tidak Ramai Orang Ketahui

Jika dipandang sekali imbas, buah ini seperti buah epal hijau. Warna dan teksturnya pula seakan sama, cuma berbeza daripada segi rasa serta saiznya.

Buah yang berwarna hijau ini bersaiz lebih kecil jika dibandingkan dengan saiz buah epal. Buah hijau ini dikenali sebagai Buah Bidara. Jangan pandang sebelah mata jikalau anda tidak tahu tentang khasiat Buah Bidara ini.

Buah Bidara atau Epal Siam

Nama saintifik bagi buah Bidara adalah Ziziphus Mauritiana dan buah ini juga mempunyai nama-namanya yang tersendiri (common names) berbeza mengikut negara. Seperti yang kita tahu, Epal Siam dan Jujub adalah nama lain bagi buah ini di Malaysia.

Antara nama lain buah ini adalah Chinese apple atau Jujubier di Perancis. Zee-pen di Burma, Phutsa, Ma Tan di Thailand, Putrea di Kemboja, Than di Laos dan Manzanitas di Filipina. Sekurang-kurangnya kita dapat mempelajari bahasa-bahasa baharu dengan menyebut nama-nama lain bagi buah bidara.

Tekstur isi Buah Bidara

 Buah Bidara ini berbentuk melonjong, berkulit licin berkilat dan berwarna hijau ketika muda. Sifat kulit luarnya sangat lembut dan licin berkilat. Tekstur isinya pula berwarna putih, mempunyai rasa masam-masam manis dan sangat rangup apabila dikunyah.

Untuk meningkatkan hasil kualiti ini, faktor cuaca juga memainkan peranan yang penting. Kualiti buah bidara yang baik akan terhasil ketika keadaan cuaca yang panas dan kering.

Tumbuhan ini menerima cahaya matahari yang cukup tetapi ianya juga memerlukan hujan untuk tumbesaran buah yang baik.

Antara khasiat Buah Bidara:

1. Bersifat antioksidan

Buah Bidara kaya dengan antioksidan yang berfungsi untuk menangkal radikal bebas (bahan kimia bebas) seperti asap rokok, radiasi sinar matahari dan sebagainya yang boleh menjejaskan kulit anda.

Di samping itu, buah ini juga dapat memelihara tubuh badan secara sihat dan menguatkan sistem imun (pencernaan) yang melibatkan penyakit buasir, sembelit, kencing berdarah dan bernanah.

Antara sebatian antioksidan yang terdapat dalam buah ini adalah seperti asid triterpenik, flavonoid dan polisakarida. Buah ini juga mengandungi vitamin C yang bertindak sebagai antioksidan.

2. Bersifat anti-kanser

Dengan isi kandungan nutrisi yang tinggi, ekstrak daripada buah bidara ini mampu untuk mencegah pertumbuhan tumor dan sel kanser dalam tubuh manusia.

Dalam satu kajian terhadap tikus jenis Swiss albino telah membuktikan dos ekstrak bidara sangat berkesan dalam mengurangkan kuantiti tumor serta pertumbuhan bilangan sel tumor dalam tikus tersebut.

3. Masalah insomnia (sukar tidur) dapat diatasi

Saponin yang terkandung dalam nutrisi buah bidara mampu bertindak sebagai agen pendorong untuk meningkatkan kualiti masa tidur sekali gus dapat menenangkan sistem saraf.

4. Bersifat anti-diabetes

Ekstrak buah bidara yang mengandungi glisemik mampu untuk mengawal paras gula dalam pembuluh darah bagi penyakit diabetes.

5. Meningkatkan kecerdasan otak

Buah ini juga berfungsi sebagai meregenerasikan sel-sel organ tubuh yang rosak. Kajian makmal telah membuktikan ekstrak air bidara mampu untuk menjadi perlindungan kepada sel-sel otak supaya ianya tidak mengalami  kerosakan.

Kerosakan sel-sel otak akan mengakibatkan penyakit seperti Parkinson dan Alzheimer yang disebabkan oleh pengoksidaan.

6. Sebagai herba untuk menyembuhkan kulit

Ekstrak air buah ini juga terbukti dapat mempercepatkan proses pengeringan luka pada kulit. Selain itu, buah ini juga mampu mencegah penyakit seperti demam panas, bibir pecah-pecah dan dapat mengecutkan bisul.

7. Merawat masalah tenaga dalaman kaum adam

Khasiat daripada buah ini juga berpotensi untuk mengembalikan stamina para jejaka yang menghidapi masalah lemah syahwat atau mati pucuk. Hal ini sangat penting kerana ianya melibatkan keharmonian sesebuah rumah tangga.

8. Menyembuhkan masalah penyakit kaum hawa dan jerawat

Ekstrak daripada buah bidara mampu untuk mengubati masalah jerawat dan melancarkan kitaran haid. Di samping itu, dengan mengambil buah bidara ini ianya juga dapat mengatasi masalah keputihan sekali gus dapat menghilangkan bau yang kurang menyenangkan pada organ sulit wanita.

Tasbih biji buah bidara

Untuk pengetahuan anda, selain untuk dimakan, buah bidara juga boleh dijadikan sebagai tasbih. Biji buah bidara yang keras itu amat sesuai untuk dijadikan buah butir tasbih.

Penulis:

  • Khairul Anuar Bin Mat Rozi adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Sebelum ini, kami pernah kongsikan khasiat buah betik. Untuk baca artikel tersebut dan artikel-artikel lain, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca