Pada hari Khamis minggu lepas, ribut yang dahsyat telah melanda kawasan utara Malaysia dan ia berlarutan sehingga keesokan harinya. Berikutan kejadian tersebut, seekor anak kucing dilaporkan terperangkap dalam bumbung sebuah rumah di Sungai Petani, Kedah dan berada dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.
Jabatan Bomba dan Penyelamat telah berkongsi satu video yang memaparkan anggota mereka menyelamatkan makhluk comel itu. Video yang berdurasi dua minit 50 saat itu berjaya mencuri perhatian warganet. Ia mendapat lebih 200 perkongsian dan 1,400 tanda suka.
Menerusi video tersebut, salah seorang anggota bomba yang bertugas iaitu PB Amirul dilihat memberi bantuan CPR kepada anak kucing itu selama hampir satu minit sebelum ia mula mengeluarkan bunyi.
Meskipun ia sudah melepasi tahap nyawa-nyawa ikan, PB Amirul tetap meneruskan CPR ke atas anak kucing itu bagi memastikan keadaannya benar-benar stabil.
Selepas lebih seminit 30 saat, anak kucing tersebut kemudiannya diletakkan minyak dan dibalut dengan kain untuk memastikan ia tidak kesejukan.
Rata-rata warganet memuji usaha yang dipamerkan oleh anggota bomba berkenaan yang langsung tidak berputus asa meskipun anak kucing itu pada mulanya kelihatan seolah-olah tiada harapan untuk hidup.
Syabas diucapkan kepada PB Amirul dan rakan-rakan! Benarlah apa yang diperkatakan selama ini, tidak semua adiwira memakai cape.