Tidak Sempat Tatap Wajah Anak Kembar, Wanita Ini Temui Ajal Selepas Bersalin

Medina Safiya dan Medina Sofiya, itulah nama yang diberikan oleh Siti Nur Nasuha Safie buat dua bayi kembarnya yang kini berusia 17 hari.

Walau bagaimanapun, Siti Nur Nasuha yang berusia 23 tahun itu tidak sempat untuk menatap wajah kedua-dua cahaya matanya apabila dia meninggal dunia pada pagi Selasa akibat komplikasi semasa melahirkan mereka. Difahamkan, arwah dan suaminya, Syazwan Najmi Zulkarni baru sahaja 10 bulan melayari bahtera perkahwinan.

Menurut Syazwan yang juga berusia 23 tahun, isteri kesayangannya menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu apabila tidak sedarkan diri tidak berapa lama selepas melahirkan anak mereka.

“Ketika dalam perjalanan ke hospital, saya menerima panggilan telefon daripada bapa mentua yang meminta saya bersedia dengan sebarang kemungkinan.

“Saya yang ketika itu tersekat dalam kesesakan jalan raya terus memotong kenderaan lain, namun sebaik tiba di hospital, saya dimaklumkan isteri sudah pergi buat selamanya,” cerita Syazwan yang berasal dari Kampung Pak Keral, Tumpat.

Menurut Syazwan lagi, isterinya berkali-kali memohon ampun kepadanya semasa berada dalam keadaan sedar buat seketika sebaik sahaja selepas bersalin.

Syazwan bagaimanapun tidak menganggapnya sebagai kemaafan terakhir memandangkan isterinya sering berbuat demikian setiap kali sebelum mereka tidur.

Katanya, isterinya turut merayu untuk menatap wajah anak mereka. Namun begitu, hasrat tersebut tidak tertunai memandangkan kedua-dua bayi mereka berada di bawah pemantauan ketika itu.

“Pada awal kehamilan, isteri cukup teruja dan ketika kandungan mencapai usia tiga bulan, dia menjalani ujian imbasan untuk mengetahui jantina anak.

“Kami sangat teruja apabila mengetahui bakal menimang anak kembar perempuan dan sejak itu, hampir setiap hari isteri bercerita akan memakaikan pakaian dan menghias cantik dua puteri kami apabila dilahirkan kelak.

“Malah, dia sudah mencari nama sesuai untuk kedua-dua anak kami iaitu Medina Safiya dan Medina Sofiya. Saya akan mendaftarkan nama itu sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir,” katanya yang bekerja di kantin hospital di Tumpat.

Meskipun perit buat Syazwan untuk menerima dugaan itu, dia tetap reda dengan ketentuan Ilahi. Kekuatannya kini hanya disandarkan kepada dua anak perempuannya itu.

Sehingga kini, Syazwan sendiri masih belum berpeluang untuk menatap wajah kedua-dua anaknya berikutan mereka berada dalam pemantauan pihak hospital.

“Setakat ini, saya hanya dapat melihat mereka melalui gambar ditunjukkan doktor.

“Saya masih memikirkan bagaimana mahu menghadapi hari mendatang. Anak pula tidak sempat merasai walau setitis susu ibu mereka, namun saya yakin, perancangan Allah SWT adalah yang terbaik dan pasti ada hikmahnya,” katanya.

Team Lejen Digital mengucapkan salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarhamah Siti Nur Nasuha. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah.

Untuk baca artikel-artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca