Seorang lelaki di Colorado sanggup pulang ke rumah dan membawa alat penimbang elektronik ke restoran untuk membuktikan hidangan stik kegemaran yang dipesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dipaparkan dalam iklan.
Memetik laporan Mirror, Antonio Chacon telah datang ke sebuah restoran di Pueblo, Colorado bersama keluarganya pada awal bulan lalu untuk menikmati makan malam sempena hari lahirnya.
Lelaki berusia 22 tahun itu kemudiannya telah memesan hidangan kegemaran beliau iaitu stik dan rusuk yang turut dihidangkan dengan kentang goreng dan kentang lecek (mashed potato).
Sebaik sahaja makanan itu tiba di meja, Antonio perasan stik yang dihidangkan itu sangat kecil seperti hidangan saiz kanak-kanak.
“Saya pesan hidangan stik saiz 6 oz tetapi apa yang mereka bawa adalah sangat kecil. Saya ada beritahu hal itu kepada pengurus restoran berkenaan dan para pelayan tetapi mereka tidak percaya kata-kata saya,” ujarnya.

Atas sebab itu, Antonio telah membawa alat penimbang elektronik dan meminta kebenaran pengurus untuk menimbang stik berkenaan.
“Stik yang dihidangkan kepada saya itu hanyalah seberat 3.6 oz. Pelayan berkata ia mungkin mengecut semasa proses memasak tetapi takkanlah stik 6 oz boleh mengecut sehingga 3.6 oz,” tambah Antonio lagi.
Selepas berjaya membuktikan stik yang diterima adalah lebih kecil daripada yang dipesan, tukang masak restoran akhirnya memasak hidangan baharu. Antonio turut menerima potongan harga.
Antonio berkata, “Pelayan terkejut selepas tengok berat stik. Saya beritahu mereka saya sudah selalu pesan makanan ini. Jadi, saya tahu bagaimana saiz 6 oz sepatutnya kelihatan.”
Sekiranya berada dalam situasi sama seperti Antonio, adakah anda akan lakukan perkara yang sama?
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: