Lelaki dari Ukraine bertindak merantai isterinya dan membiarkan wanita itu tanpa makanan serta minuman selama tiga hari hanya kerana tidak berpuas hati dengan rasa sup yang disediakan isterinya.
Kononnya, lelaki terbabit, Alexander, 40, melakukan tindakan kejam itu untuk memberi pengajaran kepada si isteri.
Isteri kepada lelaki tersebut, Angela, mendakwa selain tidak diberi makanan, dia turut dihalang ke tandas dan dipukul dengan kayu apabila memujuk suaminya untuk melepaskannya.
Leher Angela diikat pada perabot di rumah mereka selepas pasangan suami isteri tersebut bergaduh dan dia turut dipukul dengan kayu.
Ahli keluarga Angela menemui Angela selepas tiga hari kemudian dalam keadaan pucat dan menggigil.
Saudara Angela itu lantas bertindak menghubungi pihak polis dan ambulan. Bagaimanapun, suaminya sudah pun melarikan diri ketika itu.
Namun, pihak polis berjaya memberkas Alexander yang bersembunyi di dalam garaj tidak jauh dari rumah mereka.
“Dia marah kerana kualiti masakan saya tidak baik. Tapi saya percaya itu hanya alasan kerana dia tidak puas hati dengan saya sejak saya berhenti beri duit kepadanya,” kata Angela.
Alexander mengaku berniat untuk merantai isterinya itu lebih sembilan hari semasa disoal siasat oleh pihak berkuasa. Oleh itu, Alexander dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun.