Akibat Tidak Puas Hati Dengan Pengakhiran Vagabond, Penonton Tuntut Musim Kedua

Vagabond merupakan sebuah drama aksi yang berjaya mencuri perhatian orang ramai. Walaupun kita tidak menonton drama lakonan Lee Seunggi dan Suzy itu, kita pasti kerap mendengar tentang drama tersebut daripada orang di sekeliling kita.

Setiap minggu, penonton setia drama ini pasti tidak mahu melepaskan komputer riba ataupun telefon bimbit mereka untuk menyaksikan perkembangan jalan cerita berkenaan.

Tidak kira betapa hebat sesebuah karya itu sekalipun, setiap cerita pasti akan ada penamatnya. Vagabond telah melabuhkan tirainya pada 23 November lalu selepas bersiaran selama 16 episod.

Sumber: Kimchi Daily

Satu sumber daripada syarikat produksi drama itu iaitu Celltrion Entertainment berkongsi sebuah berita baik buat pengikut setia Vagabond semalam (24 November)!

Menurutnya, “Tempoh produksi adalah sangat lama menyebabkan semua orang berasa lega dan juga sedih. Proses produksi itu mengambil masa selama 11 bulan dan jikalau anda turut ambil kira tempoh perancangan, masa itu adalah lebih panjang.”

Para pengikut setia drama berkenaan meluahkan rasa sedih dan kecewa kerana ramai yang mengadu bahawa mereka tidak berpuas hati dengan pengakhiran ‘terbuka’ drama berkenaan.

Untuk menjawab persoalan yang memenuhi minda para peminat selepas episod akhir tentang kemungkinan Vagabond mempunyai musim kedua, sumber itu berkata bahawa mereka memang sudah mempunyai perancangan untuk menerbitkan musim kedua drama tersebut.

Tambahnya, “Namun, tiada pengesahan lagi mengenai musim kedua kerana ia masih dalam perbincangan. Kami sedang mengkaji semula jadual para pelakon, penulis dan juga pengarah.”

Pihak produksi turut memberikan ucapan penghargaan kepada semua pelakon dan kakitangan Vagabond, “Kesemua pelakon utama terikat dengan projek ini selama 11 bulan. Penggambaran di luar negara mengambil masa selama lebih daripada 40 hari dan mereka semua duduk bersama dalam tempoh itu. Untuk itu, saya sangat berterima kasih kepada semua kakitangan dan pelakon.”

Untuk pengikut setia Vagabond, apakah pendapat anda mengenai pengakhiran drama tersebut?

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca