Tidak Perlu Lagi Beratur Dan Menunggu Lama, Imigresen Malaysia Kini Perkenal Cara Baharu Untuk ‘Renew’ Pasport

Kecanggihan zaman teknologi masa kini secara tidak langsung membawa perubahan kepada sistem pentadbiran di negara kita. Menariknya, rakyat Malaysia kini tidak perlu bersusah payah menunggu giliran selama berjam-jam untuk memperbaharui pasport anda.

Berikut merupakan 3 langkah mudah untuk memperbaharui pasport anda:

1. Isi butiran anda dalam borang di laman web imigresen

Sebagai langkah awal, anda boleh melayari laman web imigresen Malaysia menerusi pautan ini.

Kemudian, isikan butiran peribadi sebagaimana yang tertera dalam borang yang dipaparkan dalam layar kaca media elektronik anda. Jangan lupa untuk memilih dan mengklik cawangan imigresen berhampiran sebagai tempat untuk pengambilan pas pelancong nanti.

Selanjutnya, muat naik gambar anda ke dalam tempat yang disediakan. Harus diingat, foto yang dimuat naik haruslah mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Jika tidak, agak payah untuk anda berulang alik ke kaunter semata-mata demi sekeping gambar. Pastikan, latar belakang berwarna putih berserta gambar yang sharp dan tidak blur.

Berdasarkan standard peraturan yang ditetapkan oleh International Civil Aviation Organization (ICAO), gambar pemohon wanita yang bertudung digalakkan untuk memakai rona warna yang gelap.

Bagi mereka yang tidak bertudung pula, pastikan rambut tidak menutupi dahi dan pancaindera telinga wajib kelihatan. Cara bergambar pula, tidak dibenarkan senyum sehingga memperlihatkan barisan gigi.

Sebagai makluman, gambar di dalam kad pengenalan adalah tidak sah untuk digunakan sebagai gambar pasport. Ini kerana, pasport memerlukan gambar terkini daripada pemohon.

2. Buat pembayaran secara dalam talian

Setelah mengisi butiran ke dalam borang yang dipaparkan, anda boleh terus klik submit dan buat pembayaran secara dalam talian.

Butiran pembayaran untuk memperbaharui buku pasport dapat dilihat menerusi pautan ini.

3. Pengambilan pasport di kaunter imigresen

Sebelum mengambil pasport di kaunter, anda diingatkan untuk membawa tiga dokumen penting iaitu cetakan resit permohonan dalam talian, kad pengenalan, dan pasport terdahulu.

Kemudian, anda hanya perlu menunggu sehingga nombor giliran dipanggil. Selepas itu, anda akan diminta untuk menurunkan tandatangan pada borang pengesahan sebelum pasport baru diserahkan.

Demikian merupakan tiga langkah mudah untuk anda memperbaharui pasport. Menarik, bukan?

Walau bagaimanapun, menurut seorang pegawai imigresen iaitu Miza Che Ahmad, beliau berpendapat bahawa lebih mudah jika pemohon terus bergerak ke kaunter berbanding secara dalam talian.

Lebih-lebih lagi kepada mereka yang berumur 18 tahun ke bawah. Anda digalakkan untuk memohon secara manual di kaunter kerana dikhuatiri proses akan menjadi sukar berikutan memerlukan pengesahan daripada pihak ibu bapa.

Tambahnya lagi, permohonan secara dalam talian hanya boleh dilakukan oleh mereka yang ingin memperbaharui pasport sahaja. Pemohon yang pertama kali membuat pasport hendaklah berurusan di pejabat imigresen berdekatan.

Semoga perkongsian kali ini dapat memberi manfaat kepada anda semua. Selamat mencuba!

Artikel Lain Untuk Di Baca