Tidak Perlu Belanja Besar, Ini 3 Resipi Juadah Buka Puasa

Hari ini genap 19 hari umat Islam menunaikan ibadah puasa pada tahun ini. Satu perkara yang pasti adalah bulan Ramadan pada kali ini mempunyai sedikit perbezaan daripada tahun-tahun sebelumnya.

Sekiranya umat Islam menikmati suasana bulan puasa dengan bazar Ramadan yang dipenuhi dengan pelbagai makanan dan minuman sebelum ini, kita lebih banyak meluangkan masa di rumah bersama keluarga tercinta pada tahun ini.

Kami kongsikan tiga resipi ringkas yang anda boleh masak di rumah untuk juadah berbuka puasa menerusi artikel ini:

1. Ayam masak mentega

Ayam buttermilk menjadi makanan kegemaran segenap lapisan masyarakat terutamanya kanak-kanak dan remaja. Resipi ayam buttermilk ini sangat mudah dibuat kerana ia tidak memerlukan banyak bahan.

Bahan-bahan

  • 2 dada ayam yang dipotong dadu 
  • 5 sudu tepung serbaguna Bestari/tepung goreng ayam 
  • Tepung jagung yang telah dilarutkan
  • 4 sudu besar mentega
  • ½ bawang putih, ½ biji bawang besar
  • Cili padi (pilihan)
  • 2 daun kari 
  • 200ml susu cair 
  • 1 keping keju (boleh tambah lebih)
  • Garam dan serbuk kari 

Cara menyediakan ayam

  • Potong isi ayam menjadi dadu kemudian bersihkan ayam dan toskan airnya.
  • Perasakan ayam dengan sedikit garam ataupun serbuk perasa.
  • Masukkan 5 sudu tepung serbaguna, sedikit serbuk kari dan telur. Gaulkan ia sehingga sebati.
  • Perap ayam itu selama 30 minit atau lebih.
  • Goreng ayam di dalam minyak panas sehingga garing. Angkat dan ketepikan.

Cara menyediakan hidangan ayam buttermilk

  • Panaskan mentega dalam kuali sehingga ia menjadi cair.
  • Tumiskan bawang putih, cili padi dan daun kari sehingga naik bau.
  • Masukkan susu cair, larutan tepung jagung dan bawang besar.
  • Masukkan ayam yang telah digoreng.
  • Masak kuah sehingga pekat dan perasakan dengan garam atau serbuk perasa secukupnya.

 2. Ayam masak kicap

Bahan-bahan

  • ½ ekor ayam
  • Garam
  • Kunyit
  • 3 sudu sos tomato
  • 2 sudu sos tiram, 2 sudu cili kisar, 2 sudu air asam jawa
  • Kicap manis
  • Cili merah
  • Bawang besar yang dihiris bulat

Bahan-bahan yang ditumbuk halus

  • 3 ulas bawang putih
  • 4 ulas bawang merah 
  • 2 inci halia

Cara penyediaan 

  • Gaulkan ayam bersama garam dan kunyit.
  • Panaskan minyak dan goreng ayam. Angkat dan ketepikan.
  • Gunakan kuali yang sama tetapi kurangkan jumlah minyak goreng ayam untuk bahan tumisan.
  • Masukkan bahan-bahan yang telah ditumbuk halus dan tumis sehingga ia naik bau.
  • Masukkan cili kisar, sos tomato, sos tiram dan kicap. Gaul sehingga sebati.
  • Masukkan ayam yang telah digoreng dan tambah sedikit air. Masukkan cili merah dan gaulkan sehingga rata.

3. Sawi pak choy

BAHAN-BAHAN

  • 5 pokok sawi pak choy 
  • 5 ulas bawang putih 
  • 100g isi ayam 
  • 5 sudu sos tiram
  • 1 sudu makan tepung jagung, 1 sudu minyak masak
  • 1 sudu kecil minyak bijan
  • Garam

Cara penyediaan

  • Panaskan minyak masak dan tumiskan bawang putih sehingga naik bau. 
  • Masukkan ayam dan gorengkan sehingga masak.
  • Masukkan sos tiram dan air bancuhan tepung jagung. Biarkan sos tiram dan air bancuhan tepung jagung itu mendidih. 
  • Panaskan air mengandungi garam dan minyak bijan di dalam periuk sehingga mendidih 
  • Celurkan sawi pak choy ke dalam air panas selama 1-2 minit sahaja. Angkat dan toskan airnya.

Berikut adalah tiga resipi juadah berbuka puasa yang ringkas tetapi sedap. Selamat mencuba!

Penulis:

  • Zuzilah Azran adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jalinan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk membaca lebih banyak artikel lain berkaitan resipi, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca