Tidak Mustahil Tun Dr. Mahathir Jadi Perdana Menteri Kerajaan Baharu

Pembentukan kerajaan baharu dijangka akan terus mengekalkan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri jika ia mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Sivamurugan Pandian.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) iaitu Profesor Dr. Sivamurugan Pandian turut menjangkakan perkara sama susulan sokongan dinyatakan parti lain terhadap Tun Dr. Mahathir sangat luar biasa.

Menurut beliau, akuan bersumpah (SD) yang dihantar oleh presiden parti lain juga menunjukkan komitmen yang tinggi kepada Tun Dr. Mahathir. Malah, parti Democratic Action Party (DAP) dan Parti Amanah Negara (Amanah) turut menyatakan sokongan sama meskipun tidak tergolong dalam gabungan baharu tersebut.

“Ini bermakna Tun Dr. Mahathir masih meraih sokongan majoriti tanpa perlu pembubaran Parlimen,” kata Profesor Dr. Sivamurugan.

“Pembubaran Parlimen pula hanya wujud jika Yang di-Pertuan Agong berasakan tiada mana-mana individu yang dapat sokongan jelas atau majoriti mudah untuk diangkat sebagai Perdana Menteri.”

“Dalam isu ini, jika kita lihat pada angka yang dipegang oleh gabungan kerajaan baharu, saya rasa tidak wujud walaupun rakyat di bawah mahu pembubaran kerana berasakan mandat diberi oleh mereka tetapi Yang di-Pertuan Agong akan menggunakan kebijaksanaannya sebagai Raja Melayu dalam menentukan masa depan kepimpinan negara,” kata beliau lagi.

Sumber: MalaysiaGazette

Terdahulu, spekulasi mengenai pembentukan kerajaan gabungan baharu semakin kuat selepas berlangsungnya Mesyuarat Majlis Presiden pada Jumaat lalu sehingga membawa kepada pengumuman yang menggemparkan seluruh negara di mana Tun Dr. Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri. Selain itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga telah mengisytiharkan ‘bercerai’ daripada sekutunya dalam gabungan Pakatan Harapan (PH).

Sumber: The Star

Susulan itu, seramai 11 ahli Parlimen termasuklah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Gombak) dan Zuraida Kamaruddin (Ampang) mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PH semalam bagi membentuk sebuah blok bebas di Parlimen.

Mengulas lanjut tentang ramalan komposisi kedudukan jemaah menteri dalam kerajaan gabungan baharu itu, Profesor Dr. Sivamurugan mengatakan bahawa ia akan menjadi salah satu perkara yang harus dipertimbangkan oleh Perdana Menteri baharu.

Ujar beliau, ia meliputi soal apakah bilangan itu akan berdasarkan komposisi parti ataupun menjadi kuasa mutlak Perdana Menteri untuk menentukan walaupun bilangan kerusi itu kecil tetapi ada kemungkinan bilangan mereka yang menganggotai Kabinet dari parti besar.

“Itu boleh berlaku dan Perdana Menteri baharu juga ada kuasa mutlak untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan Kabinet baharu.”

“Mungkin komposisi itu tadi bergantung kepada bilangan besarnya parti itu dalam kolaborasi ini tetapi itu tidak menjadi faktor utama.”

“Sekarang ini ia terpulang kepada siapakah yang akan menjadi Timbalan Perdana Menteri, siapa yang akan menjadi Menteri Kanan, apakah akan ada presiden parti yang tidak dijadikan sebagai anggota Kabinet, itu semua boleh berlaku. Namun akhirnya, ia tertakluk kepada kuasa Perdana Menteri,” kata beliau.

Semua yang berlaku sekarang turut memberi kesan secara keseluruhan bukan sahaja kepada kerajaan Persekutuan tetapi juga kerajaan negeri serta agensi-agensi lantikan politik.

“Antara negeri-negeri terjejas seperti kerajaan Perak, Kedah, Negeri Sembilan dan Melaka semua akan berdepan perubahan kepimpinan malah lantikan agensi tertentu juga akan digugurkan bergantung kepada pihak yang akan mengambil alih sama ada untuk mengekalkan atau menggugurkan mereka,” tambah beliau lagi.

Untuk baca artikel lain berkenaan kemelut politik negara, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca