Tidak Mempunyai Paru-Paru, Ini 7 Fakta Menarik Tentang Semut

Semut merupakan haiwan yang sangat menakjubkan. Biarpun bersaiz kecil, semut mempunyai pelbagai kelebihannya yang tersendiri.

Berikut merupakan tujuh fakta menarik mengenai haiwan ini.

1. Semut tidak mempunyai telinga

Tidak seperti haiwan lain yang mempunyai telinga, semut sebenarnya langsung tidak mempunyai organ pendengaran itu. Walau bagaimanapun, ia tidak bermakna semut ini pekak.

Semut menggunakan getaran sebagai alat untuk mendengar. Teknik ini digunakan untuk mencari makanan di luar dan sebagai isyarat kecemasan.

2. Semut mempunyai dua perut

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa semut sebenarnya mempunyai dua perut yang berbeza fungsinya.

Salah satu perut semut ini memegang peranan sebagai pusat penyimpanan makanan. Manakala bahagian yang satu lagi pula bertujuan untuk mengumpul makanan sebelum dikongsikan bersama semut lain.

3. Semut tidak mempunyai paru-paru

Oleh kerana semut mempunyai saiz badan yang kecil, haiwan ini tidak mempunyai ruang untuk menampung sistem pernafasan seperti manusia.

Namun begitu, semut mempunyai sistem pernafasannya yang tersendiri. Pada badan haiwan ini, terdapat beberapa lubang-lubang kecil yang mampu menyedut oksigen untuk disalurkan ke seluruh badan.

4. Semut mempunyai kekuatan yang luar biasa

Serangga kecil seperti semut ini mempunyai kekuatan yang luar biasa. Semut boleh membawa beban yang 10 hingga 100 kali ganda daripada beratnya sendiri. Jumlah bebanan yang boleh mereka bawa bergantung terhadap jenis semut itu sendiri.

Semut Asian Weaver mampu membawa beban 100 kali ganda daripada beratnya. Kekuatan semut ini sebenarnya terletak pada badannya yang kecil itu.

Kajian oleh Arizona State University menyatakan saiz semut yang kecil menyebabkan ototnya mempunyai keluasan keratan rentas yang lebih besar secara relatif kepada badannya.

5. Sesetengah spesies semut menghambakan semut lain

Sesetengah spesis semut seperti Polyergus Lucidus memperhambakan semut lain kerana mereka merupakan semut penakluk. Polyergus Lucidus ini menyerang koloni lain, menangkap dan memaksa mereka untuk bekerja untuk mereka.

Proses ini dikenali sebagai slave raiding. Semut penakluk memperhambakan semut lain untuk kepentingan diri mereka sendiri.

Semut penakluk terbahagi kepada dua iaitu, permanent social parasites yang bergantung hidup dengan semut yang diperhambakan itu dan facultative slave-makers yang tidak bergantung untuk selama-lamanya.

6. Boleh membela serangga lain

Selain manusia, semut juga berkebolehan membela haiwan lain untuk dijadikan sumber makanan mereka. Aphids atau kutu tumbuhan antara belaan semut yang sering berlaku.

Semut akan melindungi kutu ini daripada pemangsa semula jadi dan memberi perlindungan kepada kutu dengan membenarkan untuk tinggal di dalam sarang semut daripada hujan lebat. Hasilnya, semut mempunyai sumber makanan berterusan.

7. Membiak secara kloning

Sesetengah spesies semut seperti Amazonian tidak melalui proses biasa untuk membiak, sebaliknya mereka membiak secara kloning. Ratu semut daripada spesies ini telah mengklonkan diri mereka untuk membiak dan menghasilkan semut berjantina betina. Hasilnya, semut spesies ini tidak mempunyai semut jantan di dalam koloni mereka.

Penulis:

  • Farah Hani Binti Mustaffa Azmi adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk membaca lebih banyak fakta berkenaan haiwan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca