“Tidak Masuk Akal”, Keluarga Nora Anne Percaya Ada Unsur Jenayah Dalam Kematian Gadis Ireland Itu

Keputusan bedah siasat Nora Anne yang diumumkan pada jam 2 petang Khamis ternyata tidak meletakkan titik noktah terhadap segala persoalan yang menyelubungi benak fikiran semua pihak.

Sebaik sahaja polis memaklumkan bahawa punca kematian gadis berusia 15 tahun itu adalah disebabkan kebocoran usus ekoran tidak makan dalam tempoh yang lama, datuk kepada Nora Anne tampil menyatakan dia percaya ada sesuatu yang tidak kena dengan laporan bedah siasat itu.

Sylvian Quoirin memberitahu Irish Daily yang dia yakin bahawa terdapat unsur jenayah dalam kematian cucu kesayangannya itu. Firasatnya kuat mengatakan bahawa ada seseorang yang meletakkan mayat gadis Ireland itu di tempat jasad tersebut ditemui iaitu kira-kira 2.5 kilometer dari resort penginapan keluarganya.

Sylvian berkata demikian kerana pasukan SAR sebelum ini sebenarnya sudah pun cuba menjejaki Nora Anne di lokasi tersebut. Ia agak mustahil untuk mereka terlepas pandang memandangkan mereka dikatakan mencari dengan cukup teliti.

“Pasti ada seseorang yang letak Nora Anne di situ. Sebelum ini, pasukan SAR sudah melakukan pencarian di tempat yang sama namun tiada apa-apa,” katanya.

Pada masa yang sama, Sylvian juga menolak teori yang mendakwa Nora Anne keluar dari resort itu seorang diri untuk pergi ke air terjun. Dia beranggapan bahawa ia langsung tidak masuk akal memandangkan Nora Anne mengalami masalah holoprosencephaly atau kita sering sebut sebagai lembam.

Dia bergantung kepada keluarganya untuk melakukan semua perkara termasuklah berjalan. Malah, Nora Anne juga dikatakan sering takut dengan keadaan sekeliling.

“Bolehkah anda bayangkan dia berjalan sejauh 2.5 kilometer, tanpa seurat benang dan berkaki ayam di atas batu pada tengah malam? Bagi saya, ia langsung tidak masuk akal,” tambahnya lagi.

Menurut laporan The Irish Times, keluarga Nora Anne berharap agar siasatan ke atas kematian gadis malang itu akan diteruskan kerana ada kemungkinan bahawa dia merupakan mangsa perbuatan jenayah.

Bapa saudaranya iaitu Pacome Quoirin memberitahu media tempatan bahawa mungkin terdapat maklumat yang tidak lengkap pada laporan penuh bedah siasat itu.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca