“Tidak Mahu Tuntut Duit, Hanya Mahu Naim Daniel Jujur.” – Dayana Amerda

Petang semalam, satu sidang media Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) telah diadakan oleh bekas teman wanita penyanyi Naim Daniel, Dayana Amerda atau nama sebenarnya Siti Amirah Dayana Mohd Amerullah berkenaan hak penciptaan lagu Sumpah yang dikatakan adalah hasil di antara dia dan Daniel.

Muhammad Naim Daniel Baharin, 23 merupakan pemenang Juara Lagu menerusi lagu Sumpah pada Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL 34).

Sumber: Malaysia Gazette

Sidang media yang dijalankan di Kota Damansara itu turut dihadiri oleh Dayana, ibunya, Aida Daud dan komposer lagu, Sheikh Qalam dan Presiden Konsortium Rakaman Muzik Malaysia, Ayob Abd. Majid.

“Saya nak Naim jujur. Ya betul memang saya tak nak duit, tapi kejujuran (lebih penting), tapi kalau daftar lagu itu secara automatik akan dapat duit royalti. Saya tak mahu perkara ini berlanjutan. Tiada hati nak bawa kes ini ke mahkamah,” kata Dayana kepada media.

Sumber: Malaysia Gazette

“Kami ada bukti, kami ada pengakuan, fakta, video tular dan lain-lain di mana cukup untuk teruskan saman sivil tapi kami, bagi dia peluang untuk berfikir secara logik, jangan sampai dia termakan sumpah dia sendiri,” tambah Peguam Dayana iaitu Datuk Ahmad Zaharil Muhayar.

Peguam Dayana juga memberi Naim tempoh selama satu minggu untuk menjelaskan keadaan sebenar dan membuat tindakan sewajarnya untuk kebaikan bersama antara Dayana dan Daniel.

Melalui Harian Metro semalam, Naim Daniel kemudian memberi respons dengan meminta Dayana untuk tunjuk bukti.

“Oleh kerana tuntutan itu berlaku secara tiba-tiba dan dipublisitikan sedemikian rupa untuk mendapat perhatian, saya dan pasukan akan memberikan maklum balas dengan segera. Insya-Allah esok. Kami sentiasa terbuka untuk menerima jika terdapat bukti kukuh,”  kata Naim Daniel.

Sebelum berlakunya sidang media ini, Naim Daniel juga ada memuat naik video di akaun Instagramnya dengan meminta individu yang mahu berbincang mengenai hasil penciptaan lagunya untuk menghantar bukti yang cukup di e-mel yang diberikan.

Untuk membaca artikel lain mengenai Naim Daniel, sila klik pautan dibawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca