Isu Langgar SOP PKPB Di Kedai Karpet, Neelofa Dan Suami Dilepas Tanpa Bebas

Mahkamah Majistret di Seremban hari ini telah melepas tanpa membebaskan selebriti dan usahawan, Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya, Muhammad Haris Ismail.

Hal ini susulan daripada tuduhan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pada 2 Mei yang lalu.

Majistret Mohd Firdaus Saleh telah membuat keputusan itu terhadap kedua-dua tuduhan setelah Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Aling, menarik balik semua pertuduhan yang dikenakan terhadap pasangan suami isteri itu.

Meskipun demikian, mahkamah menetapkan 21 Disember ini bagi membuat keputusan membebaskan kedua-dua tertuduh berkenaan.

Muhammad Haris, 26, dituduh atas dua kesalahan tidak mematuhi SOP PKPB kerana gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual dan juga tidak memakai pelitup muka ketika berada di Kedai Naeem Carpet Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Nilai 3, Nilai, pada 4 Petang, 2 Mei lalu.

Noor Neelofa, 32, pula turut didakwa tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk di premis itu atau menulis secara manual pada masa dan tarikh yang sama.

Dalam pada itu, peguam bela bagi pasangan tersebut, Tan Sri Muhammad Shafie Abdullah, ketika ditemui di luar bilik perbicaraan, menjelaskan bahawa pihak pendakwaan telah menarik balik semua pertuduhan iaitu dua pertuduhan terhadap Muhammad Haris dan satu pertuduhan terhadap Noor Neelofa.

Sumber: Sinar Harian

Tambahnya, pihak pendakwaan juga telah menerima dokumen representasi yang telah dikemukakan sebelum ini dan Peguam Negara bersetuju bahawa perkara ini bukanlah begitu besar tetapi dibesar-besarkan.

Katanya lagi, satu proses kompaun akan dilakukan sama ada hari ini atau esok secara nominal amaun dan selepas kompaun dibayar, mereka akan datang kembali kerana kompaun bukan sesuatu perintah yang sama dengan didapati bersalah. Ianya neutral dan tiada rekod langsung.

Kedua-dua pasangan suami isteri itu akan kembali ke Mahkamah Majistret di Seremban pada 21 Disember untuk keputusan dilepaskan dan dibebaskan.

“Sungguhpun ketiga-tiga tuduhan itu kita boleh lawan dan mungkin dengan senang kita boleh menang, tapi ia akan berlarutan,” katanya.

Peguam kanan itu turut berkata bahawa perkara itu tidak wajar untuk dipanjangkan atau berlarutan lagi kerana keadaan Neelofa yang sedang hamil dan tidak sesuai bagi kes berkenaan terus berjalan.

Neelofa yang mengenakan jubah berwarna biru dan Muhammad Haris yang berbaju sut biru memasuki pintu pengawal kompleks dengan menepati SOP yang ditetapkan.

Mereka berdua kemudian menuju ke kamar bicara sambil diiringi Muhammad Shafie bersama beberapa peguam bela yang lain.

Pada 20 Mei lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan Bersyarat (No 4) (Pindaan) (No 12)) 2021.

Mereka berdepan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca