Tidak Layak Dalam PDRM, Seramai 142 Anggota Polis Positif Dadah Melalui Ops Blue Devil

Seramai 142 anggota polis berjaya dikesan positif dadah dalam saringan awal menerusi Op Blue Devil yang dijalankan di setiap kontinjen bermula 13 Ogos lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, pihaknya akan sentiasa menjalankan pemeriksaan tersebut secara menyeluruh dan tidak akan pernah dihentikan sehingga pada masa akan datang.

“Kita tidak akan hentikan operasi tersebut kerana pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhasrat untuk membersihkan PDRM ini daripada gejala tidak sihat khasnya dadah.”

“Kita tidak boleh ada pegawai polis yang ada ‘brain diseases’ dalam PDRM, pasukan PDRM mesti bersih,” katanya.

Beliau menjelaskan lagi bahawa buat masa ini tiada lagi pegawai berpangkat tinggi yang dikesan positif dadah.

“Apabila disebut saringan awal bermakna positif awal. Semua daripada 142 tadi, kita akan tuduh jika laporan daripada patologi membuktikan yang mereka memang positif. Tindakan yang kita ambil adalah sama seperti tindakan yang kita ambil kepada orang awam. Tiada perbezaan,” tambah Mohd Khalil.

Menurut Mohd Khalil dengan lebih lanjut, PDRM tidak mempunyai sebarang halangan mengenai dasar ‘decriminalisation’ terhadap penagih dadah yang bakal dilaksanakan kerajaan nanti.

Mengenai dasar itu, penagih dadah tidak lagi dilihat sebagai pesalah jenayah sebaliknya memerlukan rawatan dan pemulihan yang melibatkan rawatan dalam komuniti. Malah, dasar ini juga memperkasakan peranan anggota keluarga dan masyarakat.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca