Karim Mostafa Benzema nama beliau dalam kad pengenalan Perancis. Pemain ini telah menempa nama sebagai salah seorang penyerang prolifik pada usia muda dan telah menjadi buruan kelab ternama Eropah selepas beraksi cemerlang bersama Lyon di Ligue 1.

Ketika ramai di antara kita masih berdebar-debar menunggu keputusan percubaan SPM pada umur 17 tahun, Benzema telah pun gah beraksi untuk pasukan utama Lyon sejak 2004. Sepanjang beraksi untuk Lyon dari 2004 hingga 2009, sebanyak 43 gol telah dijaringkan daripada 112 perlawanan. Satu angka yang cukup untuk menggambarkan kehebatan seorang pemain muda yang mempertaruhkan bakatnya di pentas saingan kelas tinggi di Eropah.

Real Madrid melamar Karim Benzema pada 2009 dan sehingga ke hari ini, pengurus bersilih ganti dan pencabar posisi penyerang utama keluar masuk berapa ramai sekali pun, Benzema masih tetap pilihan utama sebagai ‘nombor 9’ pasukan.

“Kau siapa? Aku Karim. Karim Benzema. Tepi. Tepi!”

Seolah-olah itulah skrip Benzema setiap kali ada penyerang baru cuba mencuri tempat beliau di Real Madrid. Pasti tidak akan berjaya. Pencabar posisinya ditepis bersahaja. Gonzalo Higuain dan Alvaro Morata antaranya.

Mengikut rekod, Benzema adalah penjaring ke-6 paling banyak dalam sejarah Real Madrid. Malah Benzema juga merupakan penjaring gol paling banyak dalam sejarah Liga Juara-Juara Eropah selepas Cristiano Ronaldo, Messi dan Raul.

Namun, tidak dinafikan dalam kalangan peminat dan penyokong Real Madrid khususnya dan pemerhati bola sepak amnya, Benzema bukanlah sosok yang sering disenangi dan dipuja aksinya di atas padang.

Soalnya, kenapa begitu?

Dalam kepala ramai penggemar bola sepak, tidak terkecuali di Malaysia, tugas nombor 9 adalah untuk selalu berada di atas, bergasak dengan pertahanan tengah, bertarung bola hantaran lintang dan paling utama semestinya wajib menjaringkan. Ya, wajib. Bukan sunat. Jika gagal, ia ibarat dosa besar oleh si pelaku dan dalam hal ini si pendosanya adalah Karim Benzema!

Dahulu, duo-striker cukup terkenal diguna pakai dalam sistem taktikal pasukan. Masih ingat gandingan Za-Sa dalam Piala Dunia di Perancis? Ya, gandingan Ivan Zamorano-Marcelo Salas itu cukup digeruni dalam kempen tahun 1998 tersebut.

Selain itu, gandingan seperti Romario-Bebeto, Ronaldo-Rivaldo dan Henry-Bergkamp (sekadar menyebut beberapa nama) antara gandingan penyerang berkembar yang cukup ampuh merobek gawang lawan suatu ketika dahulu.

Namun, dalam era emas formasi 4-3-3, mengambil contoh gandingan trio MSN di Barcelona dan BBC di Real Madrid, kedua-dua pasukan tidak mendominasi perlawanan semata-mata kerana 3 serangkai mereka merupakan penyerang dengan penyudah tajam. Tetapi setiap seorang daripada 3 serangkai itu berjaya memainkan peranan dan berfungsi secara efektif untuk terlibat membina serangan sehingga gol berjaya dihasilkan.

Lihat saja Cristiano Ronaldo. Beliau jelas berubah menjadi ‘fox in the box’ ketika di bawah naungan Zinedine Zidane. Ronaldo semakin kurang melakukan pecutan sambil menggelecek pertahanan lawan tetapi lebih kerap berada hampir dengan gawang lawan, mencari ruang dan waktu tepat untuk menerima bola dan melakukan penyudah.

Di sinilah pengorbanan Karim Mostafa Benzema didambakan Real Madrid. Beliau mengorbankan keegoan dan nafsu pemburunya untuk lebih membuka ruang dan memberi peluang kepada Ronaldo mudah menyelinap masuk menembusi benteng lawan dan mencetak gol buat pasukan.

Bayangkan jika Ronaldo bergandingan dengan penyerang yang beraksi dengan cara dan gaya yang sama dengannya. Sudah tentu kedua-duanya akan mati kutu dan hilang punca untuk melancarkan serangan apatah lagi menjaringkan gol.

Bagusnya Benzema, beliau melentur gaya permainan dan fungsinya untuk lebih menyokong Ronaldo yang cukup prolifik di hadapan gol. Benzema lebih memperkemaskan aspek membuka ruang, pergerakan dan hantaran serta mengurangkan fokusnya kepada mencetak gol.

Benzema sememangnya merupakan spesis penyerang yang ganjil dan sukar ditemui pada era ini. Selain apa yang dijelaskan di atas, beliau adalah pemain bahagian hadapan yang tidak pernah kisah untuk selalu turun membantu bahagian tengah dan pertahanan ketika bertahan.

Sebaik saja Real Madrid berjaya mendapatkan kembali penguasaan bola, Benzema juga tenang dan efektif terlibat membina serangan dari bawah. Pada ketika umur lelaki yang gemarkan muzik hip-hop ini sudah lebih 30 tahun, sumbangan dan komitmen beliau berkerja keras untuk pasukan jelas membuktikan yang Karim Benzema adalah seorang superstar yang tidak mementingkan diri sendiri. Rare kepala kain.

Apa lagi yang haters mahu?

Walau sering dikecam dan dipersoalkan fungsinya, Benzema tetap efisyen dan prolifik dengan gaya dan caranya yang tersendiri. Sentiasa mendahulukan rakan sepasukan dan kelab melebihi dirinya, itulah Karim Benzema.

Satu perkara yang harus diingat, walau Benzema sering rela berada di bawah bayang Ronaldo dan pemain lain dengan pengorbanan yang jarang dihargai peminat, Benzema tetap tidak gagal menghasilkan gol-gol penting buat Real Madrid.

144 gol daripada 307 perlawanan untuk Los Blancos sudah cukup untuk membuktikan kehebatan Karim Mostafa Benzema!

Terus Lejen, Benzema!

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda