Tidak Endah Komen Negatif, Nyanyian Han Byul Sentiasa Terpahat Dalam Jiwa TwinklerFC

Jang Hang Byul atau lebih dikenali sebagai Han Byul merupakan salah seorang bintang dan juara rancangan Big Stage musim ke-2. Beliau mula aktif dalam bidang nyanyian sejak tahun 2011 dan pernah menganggotai kumpulan Korea iaitu LEDApple sebagai vokalis.

Bagaimanapun, sebaik sahaja kumpulan LEDApple bertukar menjadi LedT, kesemua bekas ahli kumpulan tersebut bergerak secara solo.

Kemunculan beliau di dalam sebuah rancangan realiti televisyen Big Stage 2 sebagai seorang peserta dari Korea telah mendapat perhatian ramai penyokong dari Malaysia.

Pada minggu pertama, beliau mendendangkan sebuah lagu Korea bertajuk Shooting Star dan memperoleh pujian membina daripada salah seorang juri tetap program tersebut iaitu Cakra Khan.

Pada minggu kedua pula, beliau membawakan lagu Melayu pertama yang bertajuk Vroom Vroom nyanyian asal Nabila Razali. Tanpa disangka, Han Byul telah mendapat tepukan gemuruh daripada dua orang juri pada minggu tersebut iaitu Dato’ Siti Nurhaliza dan Judika.

Manakala, pada minggu ketiga pula, beliau menyanyikan sebuah lagu barat nyanyian selebriti terkenal antarabangsa iaitu Lady Gaga yang bertajuk I’ll Never Love Again.

Untuk minggu keempat, beliau berduet dengan Sarah Suhairi bagi lagu bertajuk Just Give A Reason. Pada minggu seterusnya, beliau menyanyikan lagu Melayu milik Iwan yang bertajuk Yang Sedang Sedang Saja.

Nyanyian dan persembahan yang mempersonakan daripada jejaka Korea bernama Han Byul ini secara tidak langsung menarik perhatian rakyat Malaysia yang dikenali sebagai TwinklerFC.

Pemarkahan yang diberikan oleh juri tetap iaitu Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Judika dan Cakra Khan serta juri jemputan setiap minggu secara tidak langsung membuktikan kesungguhan Han Byul dalam mempersembahkan lagu yang menjadi pilihannya sendiri.

Meskipun ada di antara persembahan Han Byul memperoleh komen negatif daripada segelintir penonton, ia sama sekali tidak mempengaruhi nyanyian Han Byul pada minggu seterusnya.

Apabila disoal berkaitan komen negatif penonton, beliau hanya menjawab dengan menjadikan komen tersebut sebagai pembakar semangat untuk meneruskan perjuangan sebagai penghibur di Malaysia.

Kini, Han Byul telah berjaya membuktikan bahawa segala usaha yang telah dilakukan olehnya sepanjang lapan minggu di Big Stage 2 membuahkan kejayaan.

Penulis

  • Wan Jannatulnajwa Binti Bakar adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jalinan Industri, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

Untuk membaca artikel yang berkaitan dengan topik atau isu semasa tentang selebriti dari Korea, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca