Tidak Boleh Keluar Menoreh Getah Sepanjang PKP, 3 Beranak Ini Hanya Makan Biskut Cicah Air Teh Untuk Alas Perut

“Beras sudah habis dan kami tiga beranak hanya bergantung kepada biskut kering cicah teh untuk alas perut,” demikianlah keluh seorang wanita iaitu Hasnah Che Mat yang tinggal di Kampung Perasu, Gua Musang.

Menurut Hasnah yang berusia 58 tahun itu, keadaan tersebut berlaku selepas tiga hari penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam membendung penularan wabak COVID-19.

Sumber: YouTube Astro Awani

Cerita Hasnah kepada Harian Metro, perbelanjaan hariannya sebelum ini bergantung sepenuhnya kepada upah menoreh getah. Namun begitu, sejak pelaksanaan PKP, dia tidak boleh berbuat demikian kerana terpaksa duduk di rumah. Ia sekali gus membuatkan dirinya hilang punca pendapatan.

Sumber: YouTube Astro Awani

Lebih menyedihkan, bapa kepada Hasnah yang berusia 101 tahun sedang sakit tua dan terlantar di rumah hanya mampu disediakan teh dan biskut kering sahaja untuk dia makan tiga kali sehari.

“Saya juga hanya menumpang tinggal di rumah usang milik tuan kebun getah itu tanpa ada kemudahan air dan elektrik,” katanya.

Difahamkan, Hasnah mengambil upah menoreh getah bersama suaminya iaitu Ahmad Azmi Jusoh yang berusia 58, manakala bapanya, Che Mat Bakar, ditinggal seorang diri di rumah.

Sejak pelaksanaan arahan PKP, dia lebih banyak menghabiskan masa berkurung di dalam rumah sehingga wang yang disimpan daripada hasil menoreh getah habis.

“Saya hanya dapat upah menoreh getah sekitar RM500 sebulan, itu pun getah yang dijual sebulan sebelum dilarang menoreh untuk belanja makan. Selain belanja makan, ia juga digunakan untuk membeli lampin pakai buang bapa.

“Mujurlah ada penduduk kampung yang simpati apabila tahu kami kehabisan beras,” katanya.

Menurutnya lagi, bantuan makanan yang diterima daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri, Ab Aziz Yusof sedikit sebanyak membantu mereka sekeluarga untuk mengalas perut.

Ab Aziz ketika dihubungi Harian Metro mengesahkan sudah mengambil perhatian terhadap tiga beranak yang kehabisan makanan kerana arahan PKP.

Benarlah apa yang diperkatakan selama ini. Kadang-kadang, kita rasa hidup kita ini sudah cukup susah. Hakikatnya, masih ada yang jauh lebih susah dan ujian yang mereka terpaksa hadapi jauh lebih berat berbanding kita. Semoga kisah ini dapat membuka mata kita semua supaya menjadi insan yang lebih bersyukur.

Dalam pada itu, mereka yang ingin membantu Hasnah sekeluarga boleh menghubungi dia sendiri menerusi nombor 019-9359413.

Untuk baca artikel lain berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca