Tiada Solat Jumaat Di Perlis Hari Ini, Ganti Sembahyang Zuhur Di Rumah

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah memutuskan bahawa solat Jumaat hari ini di seluruh negeri berkenaan diganti dengan sembahyang Zuhur di rumah masing-masing.

Keputusan berkenaan dibuat selepas mendapat perkenan Raja Perlis yakni Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail usai mengambil kira situasi penularan wabak Koronavirus (COVID-19).

“Selepas mendapat pandangan dan nasihat daripada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai Covid-19, serta menerima panduan dan irshad daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, maka MAIPs bagi menjunjung titah perintah dan perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail memutuskan supaya solat Jumaat di seluruh Perlis pada 13 Mac 2020 digantikan dengan solat Zuhur di rumah masing-masing.”

Selain itu, baginda Raja Perlis turut mengingatkan pihak pengurusan masjid-masjid di seluruh Perlis supaya mengelakkan daripada melakukan apa-apa aktiviti perhimpunan berskala besar buat masa kini.

“Individu Muslim perlu mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, kesemua 70 masjid di Singapura diumumkan akan ditutp selama lima hari untuk memberi laluan kepada proses pembersihan yang dijadualkan bermula hari ini sebagai langkah untuk membendung penularan Koronavirus (COVID-19).

Majlis Agama Islam Singapura (Muis) semalam memaklumkan langkah penutupan masjid secara sementara itu bagi mencegah kluster jangkitan lebih besar.

Empat masjid yang sudah ditutup adalah Masjid Jamae Chulia di South Bridge Road, Masjid al Muttaqin di Ang Mo Kio, Masjid Hajjah Fatimah di Beach Road dan Masjid Kassim di Changi Road.

Menurut Masagos Zulkifli iaitu Menteri Hal Ehwal Islam, keempat-empat masjid itu dikenal pasti sebagai lokasi yang pernah dikunjungi pesakit positif Koronavirus sebelum ini.

Masagos yang juga Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air memaklumkan keputusan itu dibuat atas keperluan untuk melindungi masyarakat terutamanya para jemaah warga emas yang berisiko dijangkiti virus tersebut.

Difahamkan, kesemua aktiviti di masjid termasuk ceramah dan kelas agama akan dibatalkan sehingga 27 Mac ini.

Kajian semula akan dilakukan pada 16 Mac ini bagi mengesahkan tahap kebersihan masjid sebelum ia dibenarkan untuk dibuka semula kepada para jemaah.

Untuk membaca artikel lain berkaitan wabak Koronavirus (COVID-19), sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca