Tiada Privasi Lagi, Google Dan Facebook Boleh Kesan Sekiranya Anda Layari Laman Web Pornografi

Berdasarkan satu kajian yang dijalankan ke atas piawaian privasi laman web lucah, sekiranya anda melayari laman pornografi, Google dan Facebook masih boleh mengesannya meskipun carian diletakkan dalam mod peribadi.

Sebanyak 22,484 laman web pornografi telah dianalisis menerusi kajian bertajuk Tracking Sex: The Implications of Widespread Secual Data Leakage and Tracking on Porn Websites dan 93 peratus daripadanya didapati membocorkan data pengguna kepada pihak ketiga.

Menerusi kajian tersebut, Google dan anak syarikatnya didapati mempunyai pengesan sebanyak 74 peratus diikuti dengan Oracle sebanyak 24 peratus dan seterusnya Facebook iaitu 10 peratus.

Menurut jurucakap Google, mereka bagaimanapun tidak menggunakan informasi tersebut sebagai medan membina profil pengiklanan di laman web pornografi.

“Kami tidak membenarkan iklan Google di mana-mana laman web lucah dan kami juga melarang sebarang profil pengiklanan berdasarkan minat seksual pengguna di dalam talian.”

“Malah, tag untuk perkhidmatan iklan kami juga tidak membenarkan untuk menghantar maklumat yang dapat mengenal pasti individu sesuatu profil,” kata jurucakap itu.

Pada masa yang sama, pihak Facebook juga tampil menafikan kajian itu sekeras-kerasnya. Namun begitu, pihak Oracle tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan setakat ini.

Walaupun tujuan sebenar di sebalik isu ini masih lagi samar-samar, namun pengkaji menegaskan bahawa pengumpulan data seperti itu sangat bahaya kerana ia boleh digunakan untuk menentang seseorang. Ia boleh digunakan sebagai ‘senjata’ untuk merosakkan reputasi seseorang secara terbuka selain turut berupaya untuk mendedahkan seksualiti seseorang.

Di samping itu, isu keselamatan juga dikhuatiri berlaku kerana sebelum ini, terdapat banyak kes di mana e-mel, kata laluan dan kad kredit telah digodam oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca