Tiada Peperiksaan Ganti Untuk Pelajar PT3 Dan UPSR Tahun Ini

Tiada peperiksaan ganti yang akan dikenakan kepada pelajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) pada tahun ini. Demikianlah yang diperkatakan oleh Menteri Pendidikan iaitu Dr. Mohd Radzi Md Jidin yang turut menekankan bahawa penilaian terhadap tahap penguasaan murid hanya akan dilakukan berdasarkan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

“Untuk kesemua pelajar tingkatan tiga dan tahun enam, tidak akan ada peperiksaan ganti untuk tahun ini.

“Ini kerana, penilaian untuk semua pelajar ini boleh dilaksanakan melalui penilaian bilik darjah dan guru-guru telah melakukan penilaian ini untuk satu tempoh yang panjang,” jelasnya seperti yang dilaporkan oleh Astro Awani.

Sementara itu, sebuah pentaksiran khas akan dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan bagi kumpulan murid yang berhasrat untuk ke sekolah khusus seperti Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

Kata Dr. Mohd Radzi, kaedah baharu itu tidak hanya tertumpu kepada prestasi akademik semata-mata dan akan melihat kepada potensi murid daripada pelbagai aspek.

“Satu pentaksiran khas akan dilakukan untuk anak-anak yang berhasrat ke sekolah khusus ini dan ia akan dibuat bukan semata-mata bergantung kepada akademik.

“Kita perlu melihat penilaian ini dalam konteks lebih menyeluruh bagi melibatkan pelbagai aspek pelajar,” jelas beliau lagi.

Buat masa ini, pilihan tersebut sedang diteliti secara mendalam bagi memastikan kaedah yang diketengahkan bakal merangkumi potensi murid secara keseluruhan tanpa bergantung terhadap pencapaian akademik semata-mata.

Walau bagaimanapun, murid yang tidak mempunyai hasrat untuk ke sekolah khusus dikatakan tidak perlu mengikuti kaedah baharu yang akan diperkenalkan kelak.

Dalam pada itu, seluruh team Lejen Digital ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru orang ramai agar mematuhi perintah kerajaan untuk duduk di rumah dalam mengekang penularan virus COVID-19. Untuk baca artikel-artikel berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca