Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan pada hari ini memaklumkan, tiada pendakwaan akan dikenakan terhadap seorang ahli politik terkemuka yang dinamakan dalam satu kes serangan seksual baru-baru ini.
Menurut Peguam Cara Negara Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek, terdapat percanggahan fakta yang material yang tidak dapat menyokong sebarang pendakwaan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, atau mana-mana seksyen lain di bawah Kanun yang sama.
“Kami juga mendapati tidak terdapat cukup keterangan untuk membuat pertuduhan mengenai laporan-laporan polis yang dibuat berdasarkan keterangan-keterangan yang ada dalam Kertas Siasatan.”
“Kami bersetuju dengan saranan PDRM (Polis Diraja Malaysia) supaya kes ini ditutup. Selaras dengan amalan biasa, penyiasatan akan dibuka semula sekiranya dan apabila terdapat keterangan baharu,” kata Engku Nor Faizah dalam kenyataan yang disiarkan di laman web dan media sosial Jabatan Peguam Negara pada hari ini.
Kenyataan terbaru daripada Jabatan Peguam Negara ini dipercayai ada kaitan dengan laporan polis yang dibuat oleh Muhammed Yusoff Rawther terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 Disember lalu. Yusoff mendakwa dia diperlakukan secara tidak senonoh oleh Anwar, namun Anwar menafikan dakwaan tersebut dan turut membuat laporan polis.