Tiada Niat Malukan Raja Farah, Fauzi Nawawi Tampil Mohon Maaf

Menerusi hantaran di Instagram, Fauzi Nawawi telah memuat naik permohonan maaf kepada Raja Farah, suami dan keluarganya selepas video mengenai pengalaman berlakon dengan aktres berkenaan tular di Twitter. 

Menurut Fauzi, beliau tidak tahu tujuan video itu kembali ditularkan kerana program berkenaan sudah lama ditayangkan dan baru kini dihebohkan semula.

“Saya nak memohon maaf kepada semua sekali yang menyebarkan video program yang dah kecoh di media sosial. Saya nak minta maaf kepada semua yang terkesan dengan video ini khususnya Raja Farah, suami dan seluruh keluarga.

Sumber: Instagram @theonlyfauzinawawi

Video permohonan maaf ini mungkin agak lambat saya muat naik kerana baru balik dari penggambaran. Saya kerja. Kebetulan tengah shooting babak berat jadi saya ignore dan tutup semua telefon kerana tidak mahu mengganggu fikiran saya.

Saya pun tidak tahu apa sebenarnya yang orang ramai marah sangat kepada saya sehingga sanggup maki, hantar mesej yang bukan-bukan di DM, Twitter semua maki, b*** dan celaka. Alhamdulillah saya terima dengan lapang dada. Saya terima dengan tenang walaupun kusut juga memikirkan perkara tersebut,” ujarnya.

Fauzi berkata beliau telah meminta pihak penerbit dan produksi untuk memotong bahagian yang sensitif ketika perbualan sebaik sahaja selesai rakaman program tersebut.

“Memandangkan kami berbual antara lelaki, saya akui memang salah saya kerana tidak kawal cakap apabila bersembang. Saya terlepas cakap dan terlepas nama Raja Farah.

Sebenarnya mereka tanya pengalaman watak-watak yang saya pernah pegang. Kalau diceritakan watak 13 sehingga 14 tahun dulu, watak begitulah. Perompak dan penjahat, itulah watak yang sinonim dengan saya.

Sumber: The Vocket

Apabila dah terlepas cakap, saya tersedar selepas habis rakaman bahawa ada benda yang patut dipotong dan perlu censored supaya tidak ditayangkan.

Apa-apa pun, saya mengaku memang salah saya. Saya jahil. Saya memang tidak baik tetapi sedang memperbaiki diri sendiri untuk jadi lebih baik,” tambahnya.

Fauzi turut meminta maaf kepada Raja Farah, suami dan keluarga aktres berkenaan. “Kepada yang amat sensitif dan terkesan dengan video ini iaitu suami Raja Farah, saya mohon maaf daripada hujung rambut sampai hujung kaki. 

Memang saya tiada niat langsung memalukan aktres tersebut. Kepada Raja Farah sendiri dan juga keluarga, saya minta maaf dan saya tak mahu lagi perkara ini dipanjangkan,” katanya.

Dalam pada itu, Fauzi turut berlapang dada memaafkan warganet yang mengeluarkan kata-kata cacian terhadapnya, emak dan keluarganya. 

Buat anda yang masih keliru, nama Fauzi Nawawi menjadi bualan ramai sejak semalam selepas sedutan video memaparkan dirinya menceritakan secara terperinci lakonannya dalam sebuah babak ‘panas’ bersama Raja Farah tular di media sosial.

Menerusi video tersebut, anda dapat melihat Fauzi berkongsi bagaimana beliau menyukai wataknya dalam filem Anak Halal dan turut menceritakan secara terperinci lakonannya dalam sebuah adegan ‘panas’ membabitkan aktres tersebut.

Atas permintaan ibu bapa kepada aktres tersebut pada waktu itu, adegan terbabit telah dibuang daripada filem berkenaan. Tidak berhenti di situ, aktor itu turut menimbulkan kemarahan warganet apabila berkata beliau terpaksa menahan dua perkara iaitu nafsu dan juga penat ketika rakaman adegan tersebut.

Selain itu, apa yang menimbulkan kemarahan orang ramai ialah Shuk meminta Fauzi menerangkan adegan berkenaan secara terperinci kerana mahu membayangkan situasi tersebut.

Perkongsian jijik oleh Fauzi mengundang kemarahan orang ramai dan rata-rata warganet tertanya bagaimana perkongsian beliau lulus untuk siaran umum.

Selepas video itu tular di Twitter, suami Raja Farah memberikan respons dengan menyifatkan program yang pernah disiarkan di televisyen itu tidak wajar dan salah dari setiap sudut.

Beliau berpendapat mereka seolah-olah tidak sensitif mengenai soal kehormatan wanita apalagi pihak yang menjadi topik perkongsian tersebut sudah pun berkahwin. Sebagai seorang suami, beliau jelas kecewa mendengar ungkapan itu yang disifatkan seumpama ‘orang jahil’.

Tambah beliau lagi, pelakon Budak Tebing 2 itu tidak akan mengeluarkan kata-kata sedemikian kepada ahli keluarganya sendiri. Raja Farah juga menganggap aib beliau seakan dibuka dan menganggap dirinya langsung tidak dihormati.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan selebriti tempatan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca