Tiada Lagi Pendekatan Lembut Atau Nasihat, PKP Kini Memasuki Fasa Keras

Fasa dua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada Rabu sehingga 14 April ini bakal menyaksikan tiada lagi pendekatan berlembut atau kata-kata nasihat kepada mereka yang masih ingkar dengan arahan kerajaan itu.

Ini kata dua yang dimaklumkan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam selepas mendapati masih ramai yang keras kepala dan tetap keluar rumah tanpa sebarang alasan yang munasabah.

Sekiranya pihak kerajaan masih mengambil pendekatan berlembut terhadap mereka yang degil ini, usaha yang dilakukan bagi menghapuskan virus tersebut selama ini pasti tidak ubah seperti mencurah air ke daun keladi.

Sumber: MalaysiaGazette

Untuk rekod, sehingga semalam, terdapat seramai 4,189 individu yang ditahan pihak berkuasa dengan 1,449 daripada mereka telah pun dituduh di mahkamah akibat ingkar dengan PKP. Ada di antara mereka yang ditahan kerana mengganggu dan menghalang pihak berkuasa menjalankan tugas.

Bagi membendung penularan wabak COVID-19, pihak kerajaan juga mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan Jawatankuasa Khas Kabinet. Ia bertujuan untuk merangka langkah strategik dalam melindungi prestasi ekonomi dan pasaran pekerjaan di Malaysia yang cukup terkesan daripada pandemik COVID-19.

Selain mengurangkan kesan ke atas peluang pekerjaan dalam kalangan rakyat, jawatankuasa itu juga bertanggungjawab untuk merancang rangka strategi bagi menyokong prestasi enjin ekonomi Malaysia seperti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas.

Memetik laporan Bernama, Jawatankuasa khas ini dijadual bersidang pada hari ini, hari ke-17 pelaksanaan PKP dan akan mengadakan mesyuarat kedua Ahad ini. Hasil perbincangan jawatankuasa ini kemudiannya akan disampaikan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa perjumpaan Majlis Tindakan Ekonomi Negara pada Isnin depan.

Dalam pada itu, seluruh team Lejen Digital ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru orang ramai agar mematuhi perintah kerajaan untuk duduk di rumah dalam mengekang penularan virus COVID-19. Untuk baca artikel-artikel berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca