Tiada Lagi Masalah TnG Kehabisan Kredit, Pengguna PLUS Boleh Bayar Tol Guna Kad Kredit Dan Debit Pada Penghujung 2019

Hidup di ibu kota sememangnya ada banyak cabaran. Salah satu daripadanya adalah kesesakan lalu lintas yang bagaikan tiada hari esok. Majoriti pengguna jalan raya memilih untuk menggunakan jalan raya bertol bagi mengelakkan diri daripada menempuhi kesesakan. Bayar lebih sikit tiada masalah asalkan tidak makan malam di dalam kereta.

Namun begitu, semenjak plaza tol di seluruh Malaysia melaksanakan sistem nirtunai sejak Ogos 2017, wujud pula masalah lain iaitu kad Touch n’ Go (TnG) yang kehabisan kredit.

Anda semua tidak perlu risau lagi kerana masalah ini akan dapat diselesaikan menjelang hujung tahun ini di mana pengguna PLUS Malaysia Bhd (PLUS) boleh membuat pembayaran terbuka menerusi kad kredit atau kad debit yang dihubungkan terus kepada sistem pengenalan frekuensi radio (RFID), selain daripada kad TnG dan SmartTAG.

Menurut laporan Berita Harian, PLUS kini dalam proses menaik taraf infrastruktur yang membabitkan plaza tol di lebuh raya kendalian bertujuan menawarkan lebih banyak pilihan mod pembayaran buat pengguna.

Dengan kemudahan tersebut, pengguna PLUS tidak perlu lagi bersusah payah ke kiosk atau kaunter bagi menambah nilai kad TnG. Pada masa yang sama, pengguna juga tidak perlu risau lagi dengan masalah baki tidak mencukupi.

Pengarah Urusan PLUS iaitu Datuk Azman Ismail mengatakan bahawa apabila naik taraf itu selesai pada akhir tahun ini, pengguna boleh membuat pembayaran terbuka itu dengan menghubungkan kad kredit, kad debit atau mana-mana e-dompet ke RFID PLUS.

Kaedah yang bakal diperkenalkan ini secara tidak langsung boleh membantu mengurangkan kesesakan sewaktu pembayaran di pondok tol.

Pada masa yang sama, PLUS kini sedang menaik taraf 1,400 video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di semua lebuh raya kepada kamera jenis definisi tinggi ultra (UHD). Penggunaan kamera lebih canggih ini akan membolehkan PLUS untuk menyampaikan mesej dan maklumat kepada pengguna jalan raya secara visual dengan lebih tepat dan pantas.

Imej yang dirakamkan oleh CCTV tersebut dikatakan boleh dilihat sendiri oleh pengguna menerusi aplikasi mudah alih PLUS. Dalam erti kata lain, semua pengguna boleh mengetahui keadaan semasa trafik sepanjang perjalanan.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca