“Tiada Bukti Kukuh Tetapi Tidak Mustahil Kehilangan MH370 Dilakukan Seseorang.” – Bekas Ketua Juruterbang MAS

Meskipun terdapat pelbagai teori dan spekulasi mengenai kehilangan pesawat MH370 yang menjadi misteri sehingga ke hari ini, tiada sebarang bukti kukuh yang mengatakan ia berlaku disebabkan seseorang.

Walau bagaimanapun, bekas Ketua Juruterbang Malaysia Airlines (MAS) iaitu Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain mengatakan kemungkinan bahawa kehilangan pesawat itu dilakukan oleh pihak tertentu tetap ada.

“Payah hendak cakap, kemungkinan tetap ada terutamanya apabila kita lihat kembali cara dan proses bagaimana kapal terbang ini hilang iaitu bermula daripada perhubungan terakhir Allahyarham Kapten Zaharie Ahmad Shah.”

“Ada elemen-elemen lain tetapi bila tolak kemungkinan-kemungkinan yang lain, hanya ada tinggal satu punca atau senario dan tidak mustahil ia dilakukan oleh seseorang. Ini kerana kalau kita lihat daripada segi teknikal, sukar untuk kejadian ini berlaku.”

“Tetapi dalam penyiasatan pesawat jatuh, kena ada bukti yang keras tetapi malangnya tiada bukti keras,” katanya seperti yang dilaporkan portal Sinar Harian.

Kelmarin, bekas Perdana Menteri Australia iaitu Tony Abbott tampil membuat pendedahan yang menggemparkan seluruh dunia di mana beliau mendakwa kerajaan Malaysia sejak awal percaya tragedi kehilangan pesawat itu pada 8 Mac 2014 ada kaitan plot bunuh diri.

Dalam pada itu, Nik Ahmad Huzlan semasa mengulas lanjut tentang dakwaan itu memberitahu bahawa pihak polis telah pun membuat pemeriksaan latar belakang terhadap kesemua penumpang pesawat terbabit.

“Komen saya tetap konsisten dari dulu bahawa kejadian ini mungkin dilakukan oleh seseorang atas pesawat yang membawa seramai 239 penumpang dari Kuala Lumpur ke Beijing ini.”

“Saya yakin, sudah pasti polis membuat pemeriksaan latar belakang penumpang. Yang usia 80 tahun ke atas, tidak mungkin buat, kanak-kanak juga tidak mungkin atau mereka yang tidak tahu membaca langsung.”

“Tetapi ada kelompok tertentu boleh buat seperti anak kapal, jurutera atau golongan terpelajar,” katanya.

Nik Ahmad Huzlan bagaimanapun menolak bahawa insiden itu berpunca daripada perbuatan kawalan jarak jauh atau angkara Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) memandangkan ketiadaan bukti yang menjurus kepada dakwaan tersebut.

“Kalau ikut teori konspirasi pula, mesti ada ramai yang bersekongkol untuk melakukan perkara ini. Mereka yang dalam kapal terbang dan juga di luar kapal terbang.”

“Jadi kesimpulan saya dan Abbott, tidak mustahil (dilakukan seseorang) tapi saya sendiri tidak berani kata kerana tiada sebarang bukti mutlak,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nik Ahmad Huzlan yang mempunyai pengalaman selama 30 tahun dengan MAS dan pernah membawa pesawat penumpang F27, Boeing 737 dan 777 berharap agar usaha pencarian pesawat MH370 akan diteruskan dengan adanya teknologi baharu yang dapat menemukan pesawat tersebut.

“Sebagai contoh, pesawat jenis Airbus 330-203 milik Air France yang terhempas ke dalam laut di perairan dengan Rio de Janeiro pada 1 Jun 2009 tetapi bangkai pesawat itu hanya ditemui dua tahun kemudian.”

“Lokasi sebenar kapal ini sudah pun diketahui tetapi pasukan penyiasat hanya dapat menemuinya dua tahun selepas itu. Ini kerana sudah wujud teknologi yang lebih baik untuk membantu dalam usaha pencarian,” katanya.

Untuk rekod, operasi mencari dan mengesan pesawat MH370 berakhir pada Mei 2018 selepas syarikat cari gali yang berpangkalan di Amerika Syarikat Ocean Infinity gagal untuk mengesan pesawat malang itu setelah mencari lebih 112,000 kilometer persegi di dasar laut dalam sepanjang lebih dari tiga bulan.

Memetik laporan Sinar Harian, data satelit menunjukkan pesawat itu menyimpang dari laluan di mana ia dilihat membuat siri pusingan ke Selat Melaka dan kemudian ke arah Lautan Hindi.

“Selamat malam. Malaysia tiga-tujuh-sifar,” adalah kata-kata terakhir diucapkan kapten kepada kawalan trafik udara sebelum pesawat itu hilang dari radar.

Pada Julai 2018, Pasukan Penyiasatan Keselamatan MH370 menyimpulkan bahawa mereka tidak dapat meletakkan titik noktah terhadap punca sebenar kehilangan pesawat itu tetapi tidak menolak kemungkinan bahawa ia ada kaitan dengan pihak ketiga.

Untuk baca artikel lain berkenaan misteri kehilangan pesawat MH370, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca