Tia Rigg, Mangsa Kegagalan Sistem Kebajikan Masyarakat Yang Membawa Kepada Peristiwa Kejam

“Hai, saya ingin melaporkan satu pembunuhan. Nama saya John Nigel Maden, saya baru sahaja membunuh anak buah saya. Kenapa saya buat begitu? Sebab saya teringin melakukannya.” Begitulah percakapan antara operator talian kecemasan dan seorang lelaki yang telah mengaku membunuh anak buahnya dengan bersahaja.

Apabila polis tiba di tempat kejadian dua minit kemudian, lelaki tadi, John Nigel Maden menyambut mereka. Dia yang kelihatan tenang terus membawa pihak berkuasa ke tingkat atas rumahnya. Mayat seorang kanak-kanak perempuan yang juga merupakan anak buah kepada John dijumpai tanpa seurat benang kecuali hanya memakai stokin.

Pada 3 April 2010, mangsa, Tia Rigg, 12 telah datang ke rumah bapa saudaranya kerana disuruh ibunya untuk menjaga anak bapa saudaranya yang ketika itu berumur 10 tahun. Tanpa berfikir panjang, Tia telah sampai ke rumah bapanya pada jam 3 petang.

Sejurus sahaja Tia tiba, John telah menghidangkan minuman yang telah dicampurkan sejenis dadah anti-psikotik. Dadah bernama Olanzapine itu adalah milik John yang telah ditetapkan doktor. Setelah Tia pengsan, John terus bertindak melakukan pelbagai perkara seksual ke atas kanak-kanak itu sebelum membunuhnya.

Laporan autopsi menyatakan bahawa terdapat banyak kesan kecederaan seksual pada mayat kanak-kanak tersebut. Mangsa juga telah kehilangan banyak darah akibat ditikam namun punca kematiannya adalah akibat dijerut dengan tali gitar.

John Nigel Maden telah dibicarakan di Manchester Crown Court pada 4 Oktober 2010. Menurut seorang pendakwa raya diraja, Gordon Cole, John telah mula berminat akan jenayah rogol, penyeksaan dan hal-hal berkaitan pedofilia pada suatu jangka masa pada awal tahun itu. Siasatan polis mendapati John mempunyai ratusan koleksi gambar yang memaparkan jenayah penderaan kanak-kanak, koleksi seks ganas dan bahan bacaan mengenai cara membunuh.

Semasa dibicarakan, John sedikit pun tidak menunjukkan rasa kekesalan. Dia juga menolak untuk menjelaskan motif pembunuhan Tia kepada mahkamah. Setelah mengaku bersalah kerana merogol dan membunuh Tia, John dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dengan jaminan bahawa dia tidak akan dibebaskan.

Semasa hukuman ke atas John hendak dijatuhkan, seorang juri bernama Justice Keith bercakap dengan John bawa kesalahannya hanya layak dihukum dengan hukuman penjara seumur hidup.

“Tia Rigg meninggal dunia kerana anda memutuskan untuk merealisasikan fantasi anda (menyeksa dan membunuh seorang kanak-kanak),” kata Justice Keith.

Walaupun John telah didapati bersalah kerana membunuh Tia, satu laporan telah dikeluarkan mengenai kegagalan sistem kebajikan masyarakat. Dalam laporan tersebut, pekerja kebajikan masyarakat dikatakan mempunyai tujuh peluang untuk membantu Tia. Kanak-kanak tersebut telah dikategorikan sebagai berisiko sebelum dia dilahirkan lagi.

Dilahirkan dalam keluarga bermasalah, ibu Tia sendiri, Lynn mempunyai rekod masalah tingkah laku yang teruk. Lynn yang mempunyai tujuh orang anak daripada empat lelaki yang berbeza pernah ketagih dengan dadah jenis heroin dan mempunyai rekod jenayah. Malah, wanita tersebut pernah cuba membunuh dirinya di hadapan anak-anaknya termasuk Tia. Selain itu, Lynn juga pernah meninggalkan anak-anaknya berseorangan di rumah dan sering bergaduh sesama ahli keluarga.

Laporan turut menyatakan bahawa pekerja kebajikan masyarakat mempunyai fikiran optimistik yang terlalu tinggi. Mereka juga mempunyai kepercayaan tidak realistik terhadap Lynn dan kebolehannya untuk menjaga anak-anaknya walaupun dia seorang yang bermasalah.

Jasad Tia telah disemadikan di Southern Cemetery di England. Peristiwa ini telah meninggalkan kesan yang amat dalam pada keluarga Tia namun Lynn berkata dia pasrah kerana John telah diberikan hukuman yang setimpal.

Artikel Lain Untuk Di Baca