Jika anda mengikuti siri rancangan Asia dan America’s Got Talent, pasti anda pernah melihat gadis misteri ini yang sering mengelek anak patung ke mana saja dia pergi. Karakternya yang menyeramkan itu mendapat perhatian umum dan persembahannya di atas pentas pasti akan membuatkan ramai penonton terlopong atau mungkin ada yang menjerit ketakutan.
Pada tahun 2017, pemilik nama Marie Antoinette Riana Graharani atau lebih glamor dipanggil The Sacred Riana telah dimahkotakan sebagai juara Asia’s Got Talent 2. Riana kerap melakukan aksi silap mata yang berunsurkan seram dan mengejutkan para juri serta penonton sehingga dia digelar The Spooky Illusionist.
Gimik dan penampilan Riana yang memakai pinafore dan berambut panjang menutup separuh wajahnya itu banyak dipengaruhi oleh watak hantu Sadako dalam filem seram Jepun, The Ring. Manakala anak patungnya yang bernama Riani itu pula inspirasi daripada filem Annabelle dan The Conjuring.
Ayah Riana juga merupakan seorang ahli silap mata dan telah mengajar Riana banyak trik atau helah sejak gadis itu masih kecil lagi. Selain itu, Riana amat meminati ahli silap mata terkenal, David Copperfield.
Riana turut mempunyai tim pasukannya sendiri bagi menjayakan wataknya. Trademark bercakap secara tidak jelas dan diam seribu bahasa sengaja diciptakan untuk watak itu. Bow, pengurusnya sendiri yang membantu menghasilkan kesan visual yang luar biasa tersebut. Walaupun aksi persembahannya meremangkan bulu roma, ia bukanlah sihir atau mengandungi unsur-unsur mistik sebaliknya mereka menerapkan konsep mentalism iaitu magis yang berkait dengan mental dan psikologi manusia.
The Sacred Riana itu hanyalah karakter di atas pentas dan di luar pentas, Riana sebenarnya adalah seorang gadis manis yang pemalu.