Pep Guardiola menabik semangat juang anak buahnya yang semakin hampir mempertahankan trofi Liga Perdana Inggeris setelah berjaya menewaskan musuh setempat, Manchester United 2-0 awal pagi tadi. Kemenangan ini sekaligus membolehkan City memintas Liverpool dengan kelebihan 1 mata di puncak liga dengan baki 3 perlawanan.
Ini merupakan kekalahan ke-7 dalam 9 perlawanan bagi skuad The Red Devils. Jaringan Bernardo Silva dan Leroy Sane pada babak kedua menyaksikan The Citizens kini mencatat kemenangan ke-11 berturut-turut dalam saingan liga.
Sekiranya City mampu mengekalkan momentum ini dalam 3 lagi baki perlawanan menentang Burnley, Leicester dan Brighton, impian Liverpool untuk menjuarai Liga Perdana dalam tempoh 29 tahun bakal menemui titik noktah.
Setelah dimalukan Everton 4-0 pada Ahad lalu, bos United, Ole Gunnar Solskjaer membuat keputusan untuk melakukan 5 pertukaran ke atas skuadnya. Pertukaran tersebut menyaksikan prestasi yang lebih baik dipamerkan United berbanding perlawanan sebelum ini. Walau bagaimanapun, ia masih tidak mencukupi untuk menyaingi prestasi ampuh City yang nyata lebih bertenaga dan berkualiti di semua posisi.
Pada masa yang sama, Arsenal mengalami nasib yang sama seperti United selepas tewas 3-1 kepada Wolves. Kekalahan The Gunners itu sekaligus membuka peluang buat skuad bimbingan Solskjaer itu untuk merebut slot ke saingan Liga Juara-Juara musim depan. Namun, mereka bakal berdepan tugas yang getir apabila bertemu Chelsea Ahad ini.
Dalam perlawanan awal pagi tadi, Guardiola melakukan 3 pertukaran daripada skuad asal yang berjaya membalas dendam ke atas Tottenham yang menyingkirkan mereka dalam aksi Liga Juara-Juara. Namun begitu, ramai yang mempersoalkan keputusan Guardiola yang menyenaraikan kapten Vincent Kompany selepas dia kelihatan bergelut untuk mempamer aksi terbaik dalam perlawanan tersebut.
Pada minit ke-10, kad kuning dilayangkan kepada Kompany apabila dia bertindak mengasari Marcus Rashford ketika United menguasai babak awal perlawanan.
Bintang tengah United, Paul Pogba menguji penjaga gol City, Ederson menerusi rembatan jarak jauh sebelum percubaan akrobatik Jesse Lingard tersasar.
Prestasi penjaga gol United, David de Gea dilihat semakin menurun sejak akhir-akhir ini.
Pada babak kedua, Guardiola melakukan pertukaran dengan memasukkan Sane menggantikan Fernadinho. Pertukaran ini nyata mencetuskan impak positif buat jentera serangan City.
Kepantasan Sane di bahagian tepi padang berjaya mengucar-ngacirkan benteng United. Bernado Silva memecah kebuntuan pada minit ke-54 apabila rembatan deras kaki kirinya gagal dijangkau oleh De Gea.
United mempunyai beberapa peluang untuk menyamakan kedudukan, namun ia tidak digunakan dengan baik apabila Lingard gagal menyambut hantaran lintang di depan gawang City.
Sejak akhir-akhir ini, Sane jarang diturunkan Guardiola dalam kesebelasan utama City. Sane yang sebelum ini menghadiahkan kekalahan tunggal buat Liverpool musim ini membuktikan dirinya masih berbisa apabila mempamer aksi lincah selepas dimasukkan pada babak kedua.
Gol kedua berpunca daripada serangan balas apabila Raheem Sterling melorongkan hantaran yang cantik kepada Sane yang kemudiannya merembat kencang dan terkena kaki De Gea sebelum menerjah gawang.
The Citizens mungkin terpaksa menunggu satu musim lagi untuk mencapai kejayaan dalam Liga Juara-Juara tetapi mereka kini berada di landasan yang tepat untuk mencipta sejarah dengan merangkul trebel buat pertama kalinya dalam sejarah kelab yang ditubuhkan pada tahun 1880 itu.