Pemain tengah Manchester United, Paul Pogba melaungkan keyakinan bahawa pasukannya mampu untuk bangkit dan mengubah nasib mereka pada saingan suku akhir kedua Liga Juara-Juara apabila bertemu Barcelona awal pagi esok.

Sementara itu, pengendali United pula iaitu Ole Gunnar Solskjaer mahu memori indah yang berlaku kira-kira 2 dekad lalu berulang kembali. Solskjaer yang ketika itu mewakili The Red Devils berjaya meraih gelaran trebel dengan merangkul trofi berprestij Eropah itu pada aksi di Nou Camp.

Namun begitu, mereka terpaksa berhempas-pulas ketika mencatat kemenangan tipis menentang pasukan pertengahan liga, West Ham United pada aksi domestik Sabtu lalu.

Pemain tengah Perancis, Paul Pogba muncul sebagai wira dalam perlawanan itu apabila meledak 2 gol menerusi sepakan penalti. Kemenangan itu memberi keyakinan kepada United untuk membenam ego Barcelona  di gelanggang sendiri.

Kali terakhir Barcelona tewas di tempat sendiri dalam saingan Liga Juara-Juara adalah pada 1 Mei 2013 kepada Bayern Munich. Semenjak itu, Barca tidak pernah tewas. Gergasi Catalan itu telah menang 23 perlawanan, seri 2 kali dan menjaringkan 77 gol di Nou Camp. Benteng pertahanan Barca juga dilihat kebal di tempat sendiri apabila hanya memboloskan 12 gol sepanjang tempoh itu.

“Saya fikir apa yang paling utama adalah meraih 3 mata ketika menentang West Ham,” kata Pogba.

“Kami sedar mengenai pentingnya meraih 3 mata. Kami mahu memberikan aksi yang lebih baik dan menjaringkan lebih banyak gol tetapi mungkin kami berhak untuk menerima keputusan itu.”

“Sekarang ini apa yang perlu difikirkan ialah perlawanan berikutnya. Kami perlu berehat dan fokus untuk aksi menentang Barcelona.”

“Peringkat suku akhir ini sangat bermakna buat kami kerana itulah sebab kami bermain bola sepak. Bertemu pasukan yang hebat membuatkan kami sangat teruja.”

“Kami perlu kekal tenang dan menikmati perlawanan itu nanti selain memberikan yang terbaik,” ujar Pogba.

Skuad kendalian Ernesto Valverde itu dilihat cukup kebal mempertahankan kubu mereka sepanjang musim ini dan United bakal berdepan cabaran yang getir di Nou Camp.

“Perlawanan ini belum tamat, peluang untuk kami masih ada.”

“Saya tahu mereka ialah Barcelona. Kami perlu bermain di ge­langgang mereka tetapi kami masih mempunyai 90 minit untuk membuktikan kemampuan,” jelasnya.

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda