Tetak Kepala Rakan Sekerja, Tukang Masak Ini Dipenjara

Kemarahan yang terpendam selama berbulan-bulan antara kedua pekerja kapal ini akhirnya meletus pada satu petang Februari ketika mereka sedang menyediakan hidangan makan malam di sebuah kapal kargo yang berlayar pergi dari Singapura.

Ketika perbalahan tersebut berlaku, Bai Yutao, seorang rakyat China yang berusia 51 tahun telah memprovokasi rakan sekerjanya, Wang Wei, 56, yang merupakan seorang tukang masak di atas kapal itu.

Hal tersebut telah membangkitkan kemarahan Wang yang berakhir dengan kepala Bai ditetak dengan sebilah pisau pemotong daging.

Pada 11 Mei lalu, Wang telah mengaku bersalah kerana telah menyebabkan kecederaan parah kepada mangsa dan telah dipenjara selama tiga bulan.

Pihak mahkamah melaporkan bahawa kesalahfahaman antara kedua-dua lelaki ini bermula sejak bulan Disember tahun lalu selepas berlakunya pergaduhan yang menyebabkan mereka tidak bertegur sapa sehingga 12 Februari yang lalu, hari kejadian tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Singapura (DPP) Hidayat Amir menjelaskan bahawa kedua-dua lelaki ini sedang menyiapkan hidangan makan malam ketika kapal itu sedang menuju ke Pulau Semakau.

Bai sedang membasuh perkakas dapur ketika Wang mencampakkan sebuah mangkuk besi ke dalam sinki bersebelahan dengannya.

Hal ini telah menyebabkan Bai bertanya tentang tindakannya yang kurang ajar kepada Wang sebelum Bai mula menghamburkan kata-kata makian kepadanya. Wang hanya mendiamkan diri sementara kru-kru lain menenangkan Bai.

Berikutan daripada itu, perbalahan antara kedua-dua lelaki ini bermula dan Bai telah menonjok kening kiri Wang yang pada ketika itu sedang memegang sebilah pisau pemotong daging berukuran sepanjang 20 sentimeter.

Hal tersebut telah mencetuskan rasa amarah Wang dan menyebabkan dia menetak dahi Bai menggunakan pisau pemotong daging yang digenggamnya.

Bai telah memberi respons dengan menumbuk Wang berkali-kali sebelum kedua-dua lelaki itu dipisahkan oleh para teman sekerja mereka yang menyaksikan kejadian tersebut.

Bai yang sedang berdarah tanpa henti mula terasa pening dan salah seorang daripada rakan krunya telah membantu untuk membalut kepalanya sebelum bantuan kesihatan tiba.

Bai telah dibawa ke bahagian kecemasan di National University Hospital pada petang itu juga.

Walaupun Bai dilaporkan masih hidup, tetapi laporan kesihatan menunjukkan bahawa dia telah mengalami keretakan pada bahagian parietal kiri tulang tengkoraknya dan harus menjalani pembedahan pada keesokan harinya.

Wang hanya mengalami beberapa kesan lebam pada bahagian wajahnya.

DPP Hidayat memaklumkan bahawa tiada tindakan undang-undang yang dikenakan ke atas Bai yang kini telah pulang ke kampung halaman dan meninggalkan Singapura.

Wang boleh dikenakan penjara selama enam tahun atau denda sebanyak S$10,000 (sekitar RM31,000), atau kedua-duanya sekali kerana telah menyebabkan kecederaan parah kepada mangsa.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca