Terus Batalkan Perkahwinan, Pengantin Pengsan Selepas Mengetahui Bakal Suami Botak

*Gambar di atas sekadar hiasan

Satu perkahwinan orang India di daerah Etawah, Kanpur mengalami kekecohan apabila seorang pengantin wanita enggan meneruskan perkahwinan apabila mengetahui bahawa bakal suaminya botak.

Buat pengetahuan anda, perkahwinan yang diatur adalah suatu perkara biasa di India. Namun begitu, walaupun sesebuah keluarga telah mengatur dengan baik perkahwinan untuk anak mereka, ia tidaklah selalu berjalan seperti yang dirancang.

Kadang-kadang ada pengantin perempuan atau pengantin lelaki yang lari dengan kekasih mereka, kadang-kadang tragedi meragut nyawa melanda, dan kadang-kadang seperti kisah wanita ini, yang kerana tidak begitu mengenali bakal pasangan menyebabkan dia bertindak membatalkan perkahwinan pada saat-saat akhir.

Perkahwinan yang diatur merupakan satu hal yang tidak asing di India. Sumber: Oddity Central

Menurut Times of India, pada awalnya perkahwinan itu berjalan mengikut rancangan. Perarakan pertukaran kalungan bunga telah pun dilakukan.

Tetapi masalah muncul apabila si pengantin wanita mula menyedari bahawa bakal suaminya itu asyik kerap bermain dan membetulkan tudung tradisionalnya. Dia lantas mengadukan hal itu kepada seseorang dalam rombongannya, dan dia menjawab mungkin kerana lelaki itu sebenarnya botak dan memakai rambut palsu.

Terkejut dengan pendedahan itu, wanita itu segera pergi bersemuka dengan pengantin lelaki mengenai perkara itu dan apabila dia mengaku bahawa dia sebenarnya botak, wanita itu terus pengsan di tempat kejadian.

Apabila dia sedar tidak lama selepas itu, pengantin perempuan itu memutuskan untuk tidak meneruskan perkahwinan itu. Dia memberitahu keluarganya bahawa dia tidak akan, dalam apa jua keadaan, berkahwin dengan lelaki botak.

Wanita India enggan meneruskan perkahwinan apabila mengetahui calonnya sebenarnya botak. *Gambar hiasan.

Saudara-mara wanita itu cuba untuk mengubah fikirannya namun tidak ada yang meyakinkannya.

Jadi mereka tidak mempunyai pilihan lain selain memberitahu keluarga pengantin lelaki bahawa perkahwinan itu dibatalkan.

Berita ini tidak mendapat reaksi yang baik daripada pihak pengantin. Lantas, berlaku sedikit perselisihan dan pertengkaran, dengan keluarga pengantin perempuan akhirnya menuduh pihak pengantin lelaki menipu mereka dengan tidak mendedahkan keadaan rambutnya.

Pada akhirnya ketua kampung datang untuk mendamaikan dua pihak tersebut yang akhirnya bersetuju untuk membatalkan sahaja perkahwinan itu.

Bagaimanapun, menurut sumber polis tempatan, kedua-dua pihak akhirnya memfailkan aduan terhadap satu sama lain, mendakwa bahawa mereka telah ditipu oleh pihak yang satu lagi.

“Kemudian kedua-dua pihak menarik balik aduan masing-masing dan menyelesaikan isu di antara mereka,” kata jurucakap polis.

Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca