Tersinggung Anak Main Dengan Makanan, Ibu Ini Sumbat Tekak Bayi Dengan Roti

Seorang ibu dijatuhkan hukuman penjara 11 tahun selepas disabitkan kesalahan mengambil nyawa anaknya sendiri dengan cara menyumbat mulut bayi malang berusia dua tahun itu dengan roti sehingga menghalang laluan pernafasannya.

Motif kejadian dipercayai gara-gara bayi terbabit yang dikenali sebagai Viktoria telah menyepahkan cebisan roti di atas lantai ketika masa makan malam di rumah mereka yang terletak di Omsk, Rusia.

Semasa proses perbicaraan, suspek, Svetlana Mirzoeva, 28, menunjukkan kepada pihak mahkamah bagaimana dia memegang anaknya sebelum menyumbat sepotong roti yang besar ke dalam tekak bayi itu.

Menurut kenyataan mahkamah, Viktoria yang tercekik kemudiannya menjadi lemah sebelum senyap sepenuhnya.

“Suspek (Svetlana) menyedari anaknya sudah tidak sedarkan diri sebelum cuba memberikan bantuan pernafasan secara mulut ke mulut. Malah, tertuduh juga menuangkan air ke dalam tekak mangsa dengan harapan roti berkenaan akan menjadi lembut. Namun, Viktoria gagal diselamatkan,” lapor pihak mahkamah lagi.

“Dia (Viktoria) berhenti bernafas dan saya cuba untuk menarik roti itu keluar dari mulutnya,” ujar Svetlana dalam esak tangisnya di dalam kandang tertuduh.

Lebih menyayat hati, jenayah kejam itu disaksikan oleh seorang lagi anak Svetlana iaitu abang kepada Viktoria yang kini berusia empat tahun.

Laporan lanjut mendedahkan, teman lelaki Svetlana, Alexey Tretyakov, 30 kemudiannya membalut jasad anak kecil itu dengan sehelai tuala sebelum memasukkannya ke dalam sebuah beg sukan dan dibuang ke lokasi yang tidak diketahui.

Selepas melakukan jenayah keji itu, Svetlana dilaporkan berada dalam keadaan ceria susulan hari berikutnya merupakan cuti peristiwa sempena kejayaan Rusia semasa Perang Dunia Kedua.

Apabila rakan-rakannya menyoal mengenai keberadaan Viktoria, Svetlana menipu dengan memberitahu mereka bahawa anaknya itu kini tinggal bersama teman lelakinya.

Namun begitu, ibu muda itu akhirnya mengaku bahawa Viktoria sebenarnya sudah meninggal dunia selepas tidak tahan disoal berkali-kali oleh jiran yang mula sangsi. Svetlana, bagaimanapun, menyalahkan teman lelakinya atas jenayah berkenaan.

Malangnya, teman lelaki Svetlana, Alexey disahkan sudah meninggal dunia 10 hari selepas membuang jasad Viktoria akibat keracunan alkohol.

Hal berkenaan mengakibatkan jasad Viktoria yang meninggal dunia pada tanggal 9 Mei 2019 masih tidak dijumpai sehingga ke hari ini.

“Tertuduh disyaki menyumbat roti ke dalam tekak mangsa selepas berasa tersinggung dengan perlakuan anaknya yang bermain dengan makanan,” ujar pihak berkuasa.

Sebelum melakukan jenayah terbabit, Svetlana juga didapati telah mengambil beberapa minuman beralkohol.

Anak lelakinya yang menyaksikan jenayah kejam itu kini telah ditempatkan di sebuah rumah anak yatim.

Untuk membaca artikel lain berkaitan jenayah kejam, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca