Tersilap ‘Potong’ Habis Kemaluan Kanak-Kanak, Doktor Ini Mati Selepas Tamat Proses Berkhatan

Berkhatan adalah prosedur yang biasa dilalui oleh kaum lelaki di beberapa negara di dunia. Sesetengah melakukannya atas dasar keagamaan. Malah, ada juga yang memilih untuk bersunat atas faktor kebersihan.

Namun, bagi sebuah keluarga di Brazil, proses berkhatan yang kelihatan mudah bertukar ngeri apabila seorang doktor bertindak memotong keseluruhan alat sulit anak lelaki mereka yang berusia tiga tahun.

Menurut laporan Daily Mail, Dr. Pedro Abrantes menyedari ada sesuatu yang sedikit asing pada kemaluan anak lelaki Alberthy Camargos yang berumur tiga tahun. Kondisi yang dialami kanak-kanak itu dikenali sebagai phimosis di mana bahagian kulit di hadapan alat sulit menjadi terlalu ketat.

Oleh kerana hal itu mungkin akan membuatkan kanak-kanak terbabit berasa kurang selesa apabila mencecah usia dewasa, doktor terbabit mencadangkan agar proses berkhatan dilakukan demi mencegah masalah berkenaan.

Apabila mendengar penjelasan doktor terbabit, Alberthy terus bersetuju untuk melakukan proses terbabit ke atas anak lelakinya. Namun, lelaki itu mula risau apabila prosedur yang sepatutnya hanya memakan masa 30 minit telah berpanjangan sehingga mencecah empat jam lamanya.

Alberthy yang masih menaruh kepercayaan kepada Dr. Pedro tidak mengendahkan perasaannya lalu pergi ke tempat kerja seperti biasa. Empat jam kemudian, Alberthy kembali ke hospital berkenaan dan bertemu Dr. Pedro yang terus memberitahunya bahawa prosedur terbabit berjalan dengan lancar.

Walau bagaimanapun, bapa berkenaan menjadi tergamam sehingga jatuh terduduk sebaik sahaja membuka balutan pada alat sulit anaknya dan mendapati keseluruhan kemaluan anaknya sudah dipotong.

Dalam keadaan terkejut dan marah, Alberthy berkata dia telah segera mendaftar anaknya ke luar dari hospital berkenaan dan terus menuju ke rumah sakit yang lain. Malang baginya dan kanak-kanak terbabit apabila doktor di institut terbabit memberitahu kemaluan anaknya tidak dapat disambung semula.

Namun begitu, terdapat satu alternatif lain yang boleh dicuba iaitu dengan melakukan pembedahan plastik bagi melindungi uretra bayi. Hal ini dicadangkan untuk mengelakkan kanak-kanak itu menggunakan kateter untuk membuang air kecil.

Selain itu, doktor turut memberitahu mereka mampu menghasilkan kemaluan sintetik yang kelihatan sama seperti asal dengan menggunakan sebahagian kulit daripada lengan dan peha kanak-kanak terbabit. Hal ini bermakna anak Alberthy itu mampu untuk menghadapi kehidupan seperti lelaki normal. Malah, dia juga berkebolehan untuk menjadi bapa suatu hari nanti.

Namun demikian, ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, Alberthy yang mahu menyaman Dr. Pedro atas keculasannya telah mendapat berita bahawa doktor terbabit telah meninggal dunia tidak lama selepas pembedahan itu. Menurut pihak hospital, Doktor Pedro mati akibat serangan jantung meskipun dia sebelum ini tidak mempunyai mana-mana masalah kesihatan.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca