Tersilap Letak Harga, Lelaki Ini Dan Juruwang Masing-Masing Terkejut Tengok Serai Mencecah RM1,746

Siapa sahaja yang tidak terkejut apabila nilai barang dapur yang dibeli hampir mencecah RM1,900? Malah, barangan yang dibeli itu bukannya penuh satu troli.

Misal kata penuh satu troli pun, biasanya ia tidak akan melebihi RM1,000 melainkan barangan yang dibeli semuanya mahal-mahal belaka. Tapi kalau setakat susu, ubat gigi dan sayur, jumlah tersebut memang tidak masuk akal langsung.

Inilah yang menimpa seorang lelaki bernama Fahmi Jamil yang berkongsi tentang kejadian itu di laman Facebooknya. Selepas mengimbas harga barangan yang dibeli, jumlah keseluruhan ialah RM1,882.16.

Jumlah yang tertera pada resit pembeliannya itu bukan sahaja mengejutkan Fahmi, malah ia juga bikin juruwang lelaki yang bertugas melopong dibuatnya.

Juruwang tersebut kemudiannya bertanya kepada Fahmi sama ada barang yang dibelinya memang berharga begitu. Fahmi yang terkejut ketika itu pun mengatakan bahawa dia cuma membeli barang dapur dan makanan, jadi harga itu memang langsung tidak munasabah.

Setelah mendengar jawapan Fahmi, juruwang tersebut terus meminta bantuan pekerja wanita yang berada berdekatan dengannya. Fahmi juga diminta untuk tunggu sebentar sementara juruwang berkenaan memeriksa resit bagi mencari punca harga yang tidak masuk akal itu.

Setelah diteliti, rupa-rupanya serai yang dibeli oleh Fahmi diletakkan tanda harga yang salah. Berdasarkan resit itu, serai tersebut berharga RM1,746. Adakah serai itu bersalut emas?

Pekerja wanita itu kemudiannya membawa serai berkenaan ke bahagian label tanda harga di bahagian sayur bagi mendapatkan harga yang sebenar. Rupa-rupanya, ia cuma berharga 45 sen sahaja. Jauh betul beza!

Sebelum beredar, Fahmi sempat berseloroh, “Andai kata saya terbayar dulu tadi (sebab guna kad), boleh refund ke?”

Juruwang tersebut menjawab bahawa sekiranya Fahmi terus membayar jumlah itu, maka dia perlu bertanggungjawab atas kecuaiannya.

Dalam pada itu, Fahmi juga memuji tindakan pantas yang diambil oleh juruwang dan pekerja wanita itu kerana tidak membuatkan pelanggan lain menunggu lama.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca