Terpisah Sejak Berusia 8 Tahun, Kuasa Tular Akhirnya Pertemukan Adik-Beradik Ini Di Laman Twitter

Air dicencang tidak akan putus, itulah ungkapan yang paling tepat untuk menggambarkan kisah adik-beradik ini yang akhirnya bertemu kembali dengan kuasa tular media sosial selepas mereka putus hubungan sejak kecil.

Nur Hafidzah Rusdi sudah lama cuba menjejaki dua orang kakaknya setelah mereka berpisah sejak 14 tahun lalu. Dia langsung tidak sangka bahawa pencarian itu akhirnya menemui titik noktah di laman Twitter apabila dia memuat naik satu tweet berserta gambarnya sekeluarga sewaktu kecil.

Menurut laporan Harian Metro, Nur Hafidzah terpisah dengan adik-beradik kandungnya sebaik sahaja diserahkan kepada keluarga angkat sejak bayi lagi. Meskipun terpisah, keluarga angkat dan kandungnya dikatakan masih berhubung dengan berbalas surat sebelum terputus hubungan setelah masing-masing berpindah.

Kali terakhir mereka bertemu adalah sewaktu Nur Hafidzah berusia lapan tahun dan selepas itu, mereka terpisah memandangkan dirinya dibesarkan keluarga angkat di Singapura, manakala adik-beradik lain tinggal di Temerloh, Pahang.

Cerita Nur Hafidzah, bukannya dia tidak mahu menjejaki dua orang kakaknya sejak dulu lagi tapi dia cuma tahu statusnya sebagai anak angkat ketika berusia 18 tahun.

Pelbagai usaha telah dilakukan termasuklah menjejaki mereka di media sosial berbekalkan maklumat diberi oleh ibu angkatnya iaitu Nor Afidah. Selain itu, dia turut mencuba nasib dengan menghubungi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tetapi tidak berjaya.

Memandangkan Nur Hafidzah menetap di Jurong, Singapura dan tiada dokumen penting jadi ia agak sukar untuk melakukan pencarian.

Walau bagaimanapun, tiada istilah putus asa dalam kamus hidupnya membuatkan dia meneruskan pencarian tanpa henti. Tambahan lagi, dia bakal menamatkan zaman bujangnya tidak lama lagi iaitu pada bulan Oktober depan dan berharap agar dapat bertemu dengan darah dagingnya itu untuk menjadi penyeri di majlisnya nanti.

https://twitter.com/fdzhx/status/1158362338568757248

Carian menerusi Twitter itu sebenarnya merupakan idea salah seorang rakannya dari Malaysia. Dalam tempoh yang singkat iaitu tidak sampai sehari, perkongsian tersebut ternyata mendapat perhatian daripada warganet dan mula tular.

Akhirnya, kuasa tular di laman sosial itu berjaya menemukan Nur Hafidzah dengan kakak kandungnya. Dia tidak dapat menggambarkan perasaannya sebaik sahaja menerima kiriman mesej daripada salah seorang kakaknya yang dicari selama ini iaitu Noor Ellina.

Sementara itu, Noor Ellina mengatakan bahawa dia sangat bersyukur kerana mereka akhirnya bertemu kembali menerusi laman Twitter. Dia sendiri sudah lama cuba menjejaki adiknya itu. Pada pagi Selasa, salah seorang rakannya memaklumkan mengenai perkongsian Nur Hafidzah di platform tersebut.

Bagi mendapatkan kepastian, Noor Ellina menghantar kiriman mesej kepadanya dan ternyata, memang dia individu yang dicarinya selama ini.

“Terima kasih kepada warganet yang membantu dengan menyebarkan perkongsian adik kerana tanpa tularnya hebahan itu, agak sukar untuk kami bertemu,” katanya.

Sebelum ini, seorang lagi kakak kepada Nur Hafidzah iaitu Amera Najeha pernah memuat naik satu posting di laman Instagramnya bagi menjejaki adiknya itu. Namun begitu, pencariannya tidak berjaya ketika itu.

Apa yang penting, sekarang kesemua adik-beradik ini berjaya dipertemukan semula. Kisah ini mengajar kita semua bahawa tiada satu pun yang mustahil dalam dunia ini dengan syarat kita tidak boleh berputus asa walau apa pun yang berlaku.

Artikel Lain Untuk Di Baca