Terperangkap Dalam Kebakaran, 27 Orang Murid Sekolah Agama Temui Ajal Semasa Belajar Al-Quran

Sekurang-kurangnya 27 orang kanak-kanak di Liberia terkorban dalam satu kebakaran di sebuah sekolah agama pada Rabu.

Mereka yang terkorban berusia di antara 10 hingga 20 tahun. Dua orang guru sekolah itu juga turut meninggal dunia dalam insiden tersebut.

Difahamkan, hanya empat orang terselamat dalam kebakaran yang bermula sekitar tengah malam itu iaitu seorang imam, guru dan dua orang murid.

Menurut laporan media tempatan, kanak-kanak itu sedang belajar al-Quran sewaktu api merebak.

Kebakaran itu turut memusnahkan bangunan asrama para pelajar serta sekolah mereka yang terletak di Paynesville dekat pinggir Monrovia.

Mangsa yang terkorban dilaporkan terperangkap dan tidak dapat keluar dari bangunan itu memandangkan tiada pintu kecemasan selain terhalang oleh jeriji besi pada tingkap.

Menurut jurucakap polis iaitu Moses Carter, punca kebakaran masih lagi disiasat.

Dalam pada itu, Presiden George Weah hadir untuk melihat sendiri lokasi kejadian dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Artikel Lain Untuk Di Baca