Terpanjang Di Dunia, Gelongsor Air Sepanjang 1.14 Kilometer Bakal Dibuka Kepada Orang Ramai Ogos Ini

Tidak lama lagi, gelongsor air terpanjang di dunia iaitu sepanjang 1.14 kilometer di Taman Tema Escape Pulau Pinang dekat Teluk Bahang bakal dibuka kepada orang ramai. Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya iaitu Sim Choo Kheng,
ia dijadualkan bakal mula beroperasi pada bulan Ogos ini.

Beliau memberitahu bahawa gelongsor dengan ketinggian 70 meter itu dijangka siap pada hujung bulan depan. Ia juga dikatakan bakal mengatasi rekod dunia iaitu 0.602 kilometer milik taman tema Action Park di Vernon, New Jersey, Amerika Syarikat pada tahun 2015.

Menurut Sim, gelongsor berkenaan dibina di kawasan bukit menghubungkan taman permainan ‘Adventure Play’ dan ‘Water Play’. Sebelum diberi pengiktirafan dunia, wakil daripada Guinness World Records akan hadir untuk meneliti kelengkapannya.

“Cabaran terbesar dalam proses pembinaan adalah untuk mengelak menebang pokok di sekeliling kawasan bukit bagi mengekalkan kehijauan alam sekitar di kawasan tersebut,” katanya.

Tambah Sim lagi, pelaburan dalam fasa ketiga ‘Gravity Play’ itu telah menelan kos kira-kira RM10.6 juta. Jumlah itu termasuklah kos pembinaan satu laluan kereta kabel bagi membawa pengunjung ke puncak bukit.

“Kereta kabel terbabit akan menghubungkan antara kaki bukit hingga ke permulaan gelongsor air terpanjang itu dan kereta kabel berkenaan amat unik berikutan ia akan melalui kawasan hutan,” katanya.

Dalam usaha memajukan industri pelancongan, beliau meletakkan setinggi-tinggi harapan agar Escape bakal menjadi pusat tarikan pelancong di samping memberi banyak manfaat buat semua golongan masyarakat di Teluk Bahang.

Difahamkan, Escape Pulau Pinang setakat ini mempunyai lebih 40 tarikan utama termasuklah meneroka terowong, memanjat pokok, flying fox dan kite flyers di ‘Adventure Play” dan water slide, lazy river, speed racer serta waveball di ‘Water Play’.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca