Terokai Perlis, 6 Tempat Ini Buktikan Negeri Harumanis Tidak Kurang Hebat Berbanding Negeri Lain

Negeri Harumanis ini merupakan negeri yang terletak nun di hujung utara Malaysia. Ia merupakan negeri terkecil di tanah air kita. Tetapi, walaupun keluasannya kecil berbanding negeri-negeri lain, terdapat banyak tempat menarik yang anda boleh lawati di sini. Berikut kami kongsikan 6 tempat yang wajib anda kunjungi sekiranya ada bercuti di Perlis:

1. Hutan Lipur Bukit Ayer

Hutan Lipur ini terletak kira-kira 12 kilometer dari Bandar Kangar. Di sini terdapat air sungai yang sesuai untuk anda sekeluarga bermandi-manda. Ia dilengkapi dengan kolam mandi dan gelongsor. Bukan kanak-kanak saja yang seronok mandi, pasti orang dewasa juga tidak akan lepaskan peluang untuk bermandi-manda di sini.

Banyak kemudahan yang disediakan di sini termasuklah tandas, surau, kawasan parkir, taman permainan serta tapak perkhemahan. Malah, terdapat juga tempat penginapan sekiranya anda ingin bermalam di sini.

2. Taman Rekreasi Tasik Melati

Taman Rekreasi ini terletak kira-kira 10 kilometer dari Bandar Kangar. Tempat ini sangat sesuai anda lawati pada waktu petang untuk menikmati keindahan tasik yang mendamaikan anda sekeluarga. Tasik ini memiliki lebih daripada 150 buah pulau beting pasir. Terdapat juga jambatan untuk anda merentasi tasik ini sambil menikmati pemandangan tasik yang indah berlatarbelakangkan kehijauan gunung-ganang.

3. Bukit Keteri

Bukit Keteri merupakan bukit batu kapur yang terkenal di Perlis. Ia juga merupakan destinasi rock climbing yang terkenal di Asia. Sebaik sahaja anda sampai di puncak, anda akan dapat melihat panorama yang menghijau. Redup mata memandang, ia mampu membuatkan anda lupa sekejap penat lelah anda memanjat bukit.

4. Tasik Timah Tasoh

Tasik Timah Tasoh merupakan empangan saliran terbesar di Perlis yang juga menjadi pusat percutian ideal buat anda yang cintakan alam semula jadi. Tasik ini pada asalnya menjadi pertemuan 2 buah sungai iaitu Sungai Timah dan Sungai Tasoh.

Kawasan ini kemudiannya dijadikan empangan bagi menyediakan bekalan air domestik atau perindustrian serta pengairan untuk penanaman sawah padi di sekitar Perlis. Selain pemandangan tasik yang menarik, tarikan lain yang terdapat di sini adalah dusun buah-buahan yang boleh dinikmati secara percuma semasa musimnya kepada penginap di Tasoh Lake Resort & Retreat.

5. Masjid Alwi

Masjid Alwi telah diisytiharkan sebagai Warisan Negara di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005. Masjid ini siap dibina pada tahun 1933 dengan kos hanya RM64,484 pada zaman tersebut. Masjid putih berkubah hitam ini dibina dengan konsep rekaan Mughal klasik terutamanya pada kubah masjid ini. Nama masjid ini diberi sempena nama Raja Muda Perlis pada ketika itu iaitu Raja Syed Alwi.

6. Taman Ular dan Reptilia Perlis

Terdapat lebih 150 ekor ular yang terdiri daripada 34 spesies di Taman Ular dan Reptilia Perlis. Di sini, anda akan berpeluang untuk menyentuh ular-ular tersebut. Jangan risau, ular-ular di sini boleh didekati kerana telah dijinakkan. Selain daripada ular, terdapat juga haiwan lain termasuklah burung, arnab, hamster, kura-kura, kala jengking, iguana dan banyak lagi.

Bayaran masuk ke taman ini tersangatlah murah. Sangat rugi sekiranya anda tidak memanfaatkan peluang ini. Maklumlah, binatang seperti ini bukan selalu boleh dilihat dan didekati.

Semoga perkongsian ini bermanfaat buat semua. Selamat bercuti!

Penulis

  • Muhammad Aizam Azmi adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca