Terlampau Rindukan Arwah Abam, Ali Puteh Dedah Ibu Sering Termenung Tiap Kali Berbuka Puasa

“Setiap kali hendak berbuka puasa, emak mesti termenung.” Demikianlah luahan Ali Puteh, adik kepada Allahyarham Abam Bocey semasa bercerita tentang keadaan ibunya iaitu Sabariah Arshad selepas lebih dua bulan pelawak terkenal tanah air itu pergi menghadap Ilahi.

Ali tahu yang ibu kesayangannya itu teringatkan Abam kerana setiap kali masuk waktu berbuka puasa, dia pasti termenung mengenangkan arwah.

“Bukan emak sahaja, kami sekeluarga rindu kehadiran arwah terutama pada bulan Ramadan,” kata Ali Puteh seperti yang dilaporkan portal Berita Harian.

Persis wayang berputar, Ali Puteh atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Rizuan memberitahu, setiap momen manis bersama arwah Abam pada bulan Ramadan muncul dalam bayangan satu persatu.

“Setiap kali Ramadan tiba, kami adik-beradik berkumpul di rumah arwah untuk berbuka. Kebetulan emak tinggal bersama abang. Apabila berkumpul, memang terasa kemeriahannya.

Namun, semua tinggal kenangan. Tahun ini, memang terasa janggal kerana kurang seorang dalam anggota keluarga kami. Apabila tiba waktu berbuka puasa, bagaikan terbayang arwah ada bersama.

Melihat emak yang sentiasa termenung, lagilah sedih. Apa yang boleh saya katakan kepada emak hanyalah meminta dia mendoakan kesejahteraan arwah dan reda dengan apa yang berlaku,” kata Ali Puteh.

Bercerita lanjut tentang kesihatan Sabariah, anggota kumpulan Puteh itu mengatakan bahawa semenjak Allahyarham meninggal dunia, kesihatan ibunya semakin merosot.

“Sebelum ini, emak ada masalah kaki sehingga terpaksa dibedah. Sekarang, penyakit lamanya datang kembali. Kaki menjadi bengkak sehingga terpaksa duduk di kerusi roda setiap masa.

Penglihatan emak juga semakin kabur akibat kerosakan kornea. Mungkin ini berpunca apabila dia kerap menangis selepas pemergian arwah.

Sebelum ini, arwah kerap membawanya ke hospital untuk rawatan mata. Insya-Allah selepas arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat, saya akan membawa emak berjumpa doktor,” katanya.

Untuk rekod, pada 10 Februari lalu, Abam atau nama sebenarnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan meninggal dunia pada usia 32 tahun di kediamannya yang bertempat di Gombak dipercayai akibat demam panas.

Untuk baca artikel lain berkenaan Allahyarham Abam, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca