Anda pernah dengar penyakit malu patologikal? Ia satu keadaan apabila anda terasa teramat malu walaupun apa yang anda buat itu tidak memalukan langsung contohnya, malu makan di khalayak ramai atau teramat malu ketika membuat pembentangan dan pengucapan awam di atas pentas atau di hadapan kelas.
Apa itu Social Anxiety Disorder (SAD)
Malu patologikal adalah satu masalah psikologi berkait rapat dengan masalah Social Anxiety Disorder (SAD) atau dalam bahasa kebangsaan kita panggil sebagai Gangguan Kebimbangan Sosial. SAD juga dikenali dengan nama fobia sosial atau social phobia.
Mereka yang mempunyai masalah SAD ini berasa terlalu takut sekiranya mereka melakukan sesuatu yang bodoh dan memalukan di hadapan orang lain seperti blushing secara spontan atau wajah menjadi merah kerana perasaan malu secara tiba-tiba walaupun ia sebenarnya tidaklah memalukan langsung.
Mereka yang mengalami masalah ini akan berasa takut untuk berdepan dengan masyarakat sekeliling. Mereka akan berasa fobia dan merasa gusar untuk berinteraksi dengan masyarakat kerana mereka takut dengan persepsi buruk orang lain terhadap mereka.
Masalah ini sebenarnya bukanlah perkara ganjil dan ‘rare’ dan ia biasanya berlaku pada golongan wanita namun, golongan lelaki juga tidak terkecuali. Keadaan ini berlaku hampir sebanyak 12% daripada populasi.
Anda akan didiagnos mengalami masalah ini apabila;
-Rasa takut berterusan lebih daripada 6 bulan
-Terlalu malu setiap kali berada dalam kelompok orang ramai.
-Kebimbangan yang ekstrem sehingga mengganggu fungsi dan kehidupan seharian si penghidap.
-Gejala-gejala ini bukan disebabkan oleh masalah perubatan.
Walau bagaimanapun penyakit SAD ini boleh dirawat. Terdapat banyak pilihan rawatan yang boleh diberikan kepada pesakit tetapi ia bergantung pada komitmen pesakit itu sendiri kerana rawatan ini memerlukan masa yang agak panjang untuk menunjukkan kesan. Pesakit perlu bertemu dengan Pakar Psikologi untuk mengetahui cara terbaik untuk merawat penyakit ini.