Terlalu Lama Terperap Di Rumah Akibat PKP, Remy Ishak Kemurungan

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasa pada 18 Mac lalu, telah menyebabkan ramai yang terpaksa duduk di rumah dan tidak melakukan sebarang pekerjaan susulan pandemik COVID-19.

Akibat terlalu lama bersendirian di rumah, pelakon popular Remy Ishak mengakui bahawa dirinya kemurungan sehingga terpaksa mendapatkan nasihat doktor. Menurut Remy, doktor menasihatkan agar dia tidak tinggal sendirian kerana bimbang gangguan emosi dan mental bertambah buruk.

“Saya tinggal sendirian. Apabila terlalu lama tidak keluar bekerja dan berjumpa orang, saya jadi murung.

“Apatah lagi saya ‘single’, mungkin jika ada pasangan atau keluarga yang tinggal bersama, kuranglah kesunyian itu.

“Saya cuba untuk kuat, berfikiran positif dan memperbanyakkan membaca bagi menenangkan fikiran.

“Namun, perasaan itu tidak boleh bertahan lama. Semakin lama, semakin sukar untuk saya mengawal perasaan.

“Jadi, saya buat keputusan mendapatkan nasihat doktor. Malah, syarikat pengurusan turut menyokong tindakan saya itu,” jelas Remy.

Menerusi surat yang dikeluarkan doktor, Remy atau nama sebenarnya, Mohammad Zalimei Ishak memohon kebenaran pihak berkuasa untuk pulang ke kampung halaman di Melaka.

Walaupun cuba tampil kuat dan sering melakukan siaran langsung di Instagram bersama peminat, namun perasaan senang itu tidak dapat bertahan lama sehingga Remy Ishak susah untuk mengawalnya.

Bagi Remy, tidak ada yang perlu disorokkan mengenai kemurungan yang dialami olehnya kerana ramai mengalami masalah yang sama sejak PKP dilaksanakan.

Remy bersyukur kemurungan yang dialaminya bukan pada tahap teruk.

Atas nasihat doktor tersebut, Remy Ishak telah pun pulang ke pangkuan keluarga sejak Ahad lalu. Ternyata lelaki itu lebih mudah untuk berinteraksi dengan ahli keluarga yang lain secara bersemuka.

Tambahnya, jadual tidur yang berubah sejak PKP turut mengganggu emosinya.

“Rehat terlalu lama membuatkan tubuh penat lalu murung. Saya sudah lama berhasrat pulang ke kampung. Namun, memikirkan Kuala Lumpur dan Selangor mencatat jumlah jangkitan COVID-19 tinggi, saya terpaksa menangguhkan hasrat itu,” katanya.

Dalam masa yang sama, Remy berkata bahawa dia akan kembali bekerja pada 20 Jun ini. Bagaimanapun, Remy enggan mendedahkan ‘projek baru’ yang bakal dijayakan.

Untuk membaca artikel lain berkenaan industri hiburan di Malaysia, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca