Juara rancangan dakwah Da’i musim kedua iaitu Nik Ahmad Farhan Nik Mohamad atau lebih dikenali sebagai Da’i Farhan telah membuat dua laporan polis dan dua tuntutan saman kepada beberapa individu yang didakwa melontarkan fitnah terhadapnya di media sosial berhubung isu perkahwinan keduanya bersama dengan seorang ibu tunggal lapan anak baru-baru ini.

Menurut Da’i Farhan yang berusia 29 tahun itu, beliau bertindak sedemikian untuk memberi pengajaran kepada semua warganet agar menggunakan media sosial secara berhemah dan bukannya menyebarkan fitnah yang boleh mengaibkan seseorang.

“Alhamdulillah, sudah selesai semalam. Dua laporan polis dan dua tuntutan saman dikemukakan buat ‘si dia’, beberapa orang pemfitnah tegar di media sosial yang disenaraikan nama-nama mereka,” coret Da’i Farhan di laman Instagram.

“Moga mereka berbahagia selalu, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata dapat mudarat,” tulisnya lagi.

Terdahulu, pengumuman yang dibuat Da’i Farhan tentang perkahwinan kedua beliau di Instagram telah menarik perhatian rata-rata warganet sehingga ada segelintir pihak yang mendakwa bahawa isteri pertamanya tidak meredai perkahwinan itu.

Coretnya, “Daku tak mencari dia, dia tak mencari daku. Allah yang pertemukan kami di sisi Baitullah, di bawah payungan langit Kaabah, di Tanah Suci juga kami disatukan dengan ikatan pernikahan. Amanah buatku untuk mendidik dan menjaga isteri keduaku ini bersama lapan orang anaknya yang baik hati semuanya.”

“Terima kasih buat isteri pertamaku yang sentiasa tabah dan kuat semangat dengan hakikat ini. Moga segalanya dalam reda dan rahmat Ilahi, amin. Mohon semua doakan yang terbaik untuk ustaz dan amanah yang Allah berikan pada ustaz ini, fii amanillah,” tulisnya.

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda