[TERKINI] Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Dilanjutkan

Persoalan sama ada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan atau tidak akhirnya terjawab sebentar tadi apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi satu perutusan khas memaklumkan bahawa ia akan disambung sehingga 28 April 2020. Terdahulu, PKP yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu dalam membendung penularan pandemik COVID-19 sepatutnya berakhir pada 14 April 2020.

“Berdasarkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pakar perubatan, saya mengumumkan PKP dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi iaitu dari 15 April sehingga 28 April 2020,” kata Perdana Menteri.

Tinjauan kami di media sosial sebelum ini mendapati bahawa rata-rata rakyat berharap agar tempoh PKP tidak dilanjutkan kerana masing-masing ingin kembali kepada kehidupan normal. Namun begitu, keputusan yang diambil oleh pihak kerajaan ini sudah semestinya terbaik buat semua pihak.

Untuk rekod, setakat 9 April 2020, negara kita telah mencatatkan 4,228 kes positif COVID-19 dan 67 kematian. Menurut laporan rasmi KKM, 38.03 peratus daripada jumlah tersebut iaitu 1,608 pesakit telah sembuh dan discaj dari hospital.

Apa-apa pun, Malaysia memerlukan kerjasama dan sokongan daripada seluruh rakyat untuk patuh dengan arahan PKP ini bagi mengekang penularan wabak COVID-19 daripada terus menular atau memberi kesan yang tidak sepatutnya. Percaya atau tidak, tempoh sebenar PKP terletak di tangan kita semua.

Untuk baca artikel lain berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca